KUALA LUMPUR 28 Okt – Syarikat penyedia perkhidmatan penjenamaan dan pemasaran, SBS Nexus Bhd mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE dengan pelancaran tawaran awam permulaan (IPO) disasarkan pada suku pertama tahun 2026.
SBS Nexus berkata, IPO tersebut akan melibatkan terbitan saham baharu serta penawaran untuk jualan saham sedia ada. Harga tawaran akan diumumkan kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Chun Mun berkata, kelulusan itu satu langkah penting bagi syarikat untuk mempercepatkan proses penyenaraian awam.
“Kelulusan ini membawa kami setapak lebih dekat ke arah pelaksanaan IPO. Ia juga hadir pada masa yang sesuai kerana kami kini bersedia untuk merebut peluang luas dalam industri penjenamaan dan pemasaran di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
SBS Nexus terlibat dalam penyediaan perkhidmatan penjenamaan luar talian dan digital, termasuk perhubungan awam, pengurusan acara, siaran digital, penerbitan video, pembangunan aplikasi mudah alih dan berasaskan web serta reka bentuk laman sesawang.
Selain itu, syarikat tersebut juga menganjurkan anugerah perniagaan dan acara jaringan perniagaan sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menjana prospek jualan dan menyediakan platform kepada pelanggan bagi meningkatkan publisiti serta pengukuhan jenama.
Hasil daripada penjualan saham baharu akan digunakan bagi menubuhkan ibu pejabat baharu, pengambilan pekerja tambahan untuk memperluaskan operasi ke pasaran pengguna Melayu, serta melaksanakan aktiviti pemasaran.
Syarikat turut merancang untuk memperkukuh perniagaan pembangunan aplikasi mudah alih dan laman sesawang bagi merebut peluang daripada permintaan tinggi terhadap pendigitalan.
Sebahagian hasil juga akan diperuntukkan bagi pembayaran semula pinjaman dan keperluan modal kerja.
Sementara itu, hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diterima oleh beberapa pemegang saham utama, termasuk Wong; Pengarah Eksekutif Piah Yee Ling; Ketua Pegawai Operasi, Warren Cheng; Ketua Digital, Lai Kian Chuan; Ketua Pegawai Perniagaan Lim Cheng Yong dan pemegang saham besar, Foo Woon Yew melalui syarikat milik penuhnya, Alphabets Assets Sdn Bhd.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat tunggal, penaja, penjamin utama dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








