KUALA LUMPUR 10 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu daripada tujuh kapal yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz telah selamat melalui perairan tersebut dan kini dalam perjalanan ke Malaysia.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata enam lagi kapal sedang memohon kelulusan dan menunggu giliran untuk melalui laluan perdagangan penting itu.
Beliau berkata perkara tersebut dimaklumkan kepadanya menerusi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pada Jumaat.
“Dengan ini, kita berharap, insya-Allah bekalan minyak bagi April dan Mei akan berada dalam keadaan terkawal dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah di sini.
Selat Hormuz, laluan sempit strategik yang mengendalikan kira-kira 20% daripada bekalan minyak mentah dan gas dunia, telah mengalami gangguan susulan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari.
Gangguan tersebut telah menyebabkan kekurangan bekalan bahan api dan mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus memberi kesan ekonomi yang lebih meluas.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengkaji langkah bagi mengurangkan tekanan dan beban terhadap pihak yang terkesan akibat kenaikan harga diesel.
“Bagi petani, penternak dan nelayan, mereka telah dibantu (melalui subsidi), tetapi bagi sektor lain… beberapa kementerian sedang mengkaji langkah untuk mengurangkan tekanan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan akan mempertahankan harga RON95 melalui inisiatif Budi95 walaupun berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat.
Menurutnya, keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi krisis tenaga global semasa.
Bagaimanapun, Anwar turut menyeru rakyat supaya bersama-sama kerajaan mengharungi tempoh mencabar ini dengan mengamalkan sikap berjimat cermat.
“Walaupun ada ruang untuk 200 liter (kuota bahan api melalui Budi95), kita tidak semestinya perlu menggunakannya sepenuhnya. Ini bermakna setiap orang mempunyai peranan dalam menyumbang kepada penjimatan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan khutbah Jumaat di Selangor digunakan untuk menjelaskan mengenai krisis tenaga serta mengajak umat Islam mendoakan kesejahteraan negara. - BERNAMA








