Sarawak tarik pelaburan RM105.9 bilion dari tahun 2021 hingga 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak tarik pelaburan RM105.9 bilion dari tahun 2021 hingga 3QFY2025

Gambar ICTMM
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM105.9 bilion dari tahun 2021 sehingga suku ketiga 2025, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.

 

Beliau berkata, jumlah tersebut merangkumi RM68.4 bilion (64.5 peratus) pelaburan domestik dan RM37.5 bilion (35.5 peratus) pelaburan asing.

 

“Pelaburan yang diluluskan ini merangkumi tiga sektor iaitu RM47.3 bilion dalam sektor utama, RM31.3 bilion dalam sektor pembuatan dan RM27.3 bilion dalam sektor perkhidmatan. 

 

 

 

 

 

 

“Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 25,000 peluang pekerjaan  termasuk lebih 21,000 dalam sektor pembuatan,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

 

Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan dalam sektor pembuatan tertumpu terutamanya kepada industri Elektrik dan Elektronik (E&E) serta industri kimia.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Ai itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menunjukkan pertumbuhan yang stabil, meningkat daripada RM131.6 bilion pada 2021 kepada RM148.2 bilion pada 2024. 

 

“Sektor pembuatan adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi, mencatat pertumbuhan berterusan yang mencapai kemuncaknya pada 2022 dengan RM39.2 bilion, sebelum menurun sedikit dan pulih kepada RM38.2 bilion pada 2024,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri hiliran petrokimia dengan Kompleks Metanol bernilai RM7 bilion di Bintulu yang berjaya mengeksport lebih 750,000 tan metrik metanol.

 

“Industri ini telah menarik minat beberapa pasaran antarabangsa utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Indonesia dan India.

 

“Pencapaian ini menandakan kemasukan berjaya Sarawak ke dalam rantaian nilai global metanol, sekaligus menunjukkan daya saing negeri ini dalam industri hiliran petrokimia,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Ketika ini, Sarawak Petchem sedang meneroka inisiatif hiliran baharu termasuk Projek Metanol Hijau, bertujuan menyokong aspirasi Sarawak untuk mewujudkan Hab Bunker Tenaga Hijau yang menggunakan e-Metanol rendah karbon atau hijau sebagai bahan api di Bintulu.

 

Selain itu, beliau berkata, projek Amonia dan Urea Rendah Karbon, yang dijalankan bersama PETRONAS akan memperluas lagi portfolio petrokimia negeri dan membuka peluang bernilai tinggi baharu. - DagangNews.com