KUALA LUMPUR 14 April - Sarawak menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya 10,000 megawatt tenaga menjelang 2030 yang dipacu oleh hidroelektrik, solar dan biojisim, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai kerana Sarawak mempunyai kekuatan dari segi kejelasan dasar, kedudukan strategik serta tenaga boleh diperbaharui untuk terus menarik pelaburan.
Katanya, kelebihan ini meletakkan Sarawak sebagai hab pelaburan baharu, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi seperti semikonduktor dan aeroangkasa.
“Salah satu kekuatan kita ialah dasar yang jelas dan kita bersifat strategik. Daya tarikan kita terletak pada keupayaan tenaga boleh diperbaharui serta ekosistem yang kita miliki,” katanya kepada media semalam.
Terdahulu beliau mewakili Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Program Jangkauan Aspirasi Teraju Sarawak 2026 di Kuching.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Junady Nawawi, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datuk Len Talif Salleh.
Awang Tengah berkata, selari dengan peluang pelaburan itu kerajaan negeri mahu syarikat tempatan turut terlibat, terutama dalam industri sokongan.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau memberitahu Sarawak telah mengenal pasti lapan syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd.
Katanya, tiga daripada syarikat berkenaan telah menamatkan Program Elevate - iaitu inisiatif kesiapsiagaan oleh Teraju, manakala satu syarikat dijangka disenaraikan tahun ini.
“Ini menunjukkan momentum sebenar dalam membina saluran syarikat Bumiputera Sarawak yang berdaya maju untuk pasaran modal,” katanya.
Beliau menambah, syarikat Bumiputera perlu digalakkan untuk melangkah ke fasa seterusnya melalui tawaran awam permulaan (IPO) jika perusahaan sudah kukuh dan matang.
Inisiatif itu katanya, menyokong Kerangka Strategik Sarawak 3-7-20 yang menyasarkan tiga IPO Bumiputera, melahirkan tujuh juara industri serta meningkatkan 20 peratus perusahaan mikro.
"Apabila perusahaan semakin kukuh dan syarikat semakin matang, mereka harus digalakkan melangkah ke fasa seterusnya melalui IPO,” katanya.
Kerajaan negeri katanya, telah melaksanakan pelbagai program membantu syarikat berkembang khususnya di peringkat mikro. - DagangNews.com








