Sarawak Plantation diunjur kekal stabil, MBSB Research naik taraf saham kepada NEUTRAL dengan TP RM3.55 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Plantation diunjur kekal stabil, MBSB Research naik taraf saham kepada NEUTRAL dengan TP RM3.55

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Mei - Prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) bagi Sarawak Plantation Berhad berada dalam jangkaan apabila mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM23.1 juta, meningkat 2.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi itu merangkumi kira-kira 26% daripada unjuran penuh tahunnya dan 29% daripada jangkaan konsensus, disokong oleh peningkatan keuntungan operasi sekitar RM21.7 juta.

 

Menurutnya, margin keuntungan turut bertambah sebanyak 2.9 mata peratusan hasil strategi pembelian kilang yang lebih cekap sehingga berjaya mengurangkan kos unit pemprosesan.

 

Susulan keputusan itu, firma penyelidikan berkenaan menaik taraf saranan saham SPB daripada Trading Sell kepada Neutral dengan harga sasaran (TP) baharu RM3.55 sesaham berbanding RM2.91 sebelum ini.

 

Penilaian itu dibuat berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran lebih tinggi pada 11 kali, iaitu sekitar satu sisihan piawai melebihi purata sejarah lima tahun syarikat, diaplikasikan kepada unjuran pendapatan sesaham FY26 sebanyak 32.3 sen.

 

“SPB merupakan pemain huluan tulen dalam sektor perladangan dan harga sahamnya mempunyai korelasi tinggi dengan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO) iaitu sekitar 0.89 kali.

 

“Justeru, sebarang kenaikan harga CPO dijangka membuka peluang dagangan lebih menarik kepada saham ini,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Prospek Pendapatan

MBSB berkata, prospek pendapatan SPB dijangka kekal stabil disokong peluasan kawasan matang dituai yang hampir mencecah 1,500 hektar.

 

Bagaimanapun, tekanan kos pengeluaran masih kekal tinggi susulan kadar perahan minyak (OER) yang mendatar serta pengurangan pembelian buah tandan segar (FFB) daripada pihak luar.

 

Dari segi operasi perladangan, keuntungan segmen estet merosot kepada RM20.8 juta, turun 17.5% tahun ke tahun sejajar harga jualan FFB yang lebih rendah iaitu kurang RM800 setan serta jumlah jualan yang susut sekitar 0.6%.

 

Sebaliknya, keuntungan segmen kilang meningkat kepada RM5.1 juta atau 22% lebih tinggi berbanding tahun lalu, dipacu peningkatan pengeluaran FFB sebanyak 6.9% walaupun pengeluaran CPO menurun 13.4%.

 

Purata harga direalisasikan bagi CPO turut rendah pada RM4,034 setan, susut 14.7% manakala harga isirung sawit (PK) turun 8.6% kepada RM3,154 setan.

 

Pengeluaran FFB

Dari sudut operasi, pengeluaran FFB meningkat kepada 79,066 tan atau naik 6.9% tahun ke tahun walaupun pembelian luar berkurangan disebabkan faktor peralihan musim.

 

Ini menunjukkan aktiviti penuaian dalaman dan operasi pemindahan hasil tanaman kumpulan kekal berada pada tahap baik sepanjang suku tersebut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kualiti hasil ladang dan kecekapan penuaian turut membantu kilang menyerap kelemahan bekalan tanaman pihak ketiga tanpa memberi kesan besar kepada kadar penggunaan kapasiti.

 

“Hasilnya, suku tersebut merekodkan peningkatan hasil FFB bersama kawalan lebih baik terhadap kos pengeluaran keseluruhan, sekali gus menyokong margin kilang walaupun harga jualan produk sawit lebih rendah,” katanya.

 

Dalam pada itu, unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 dikekalkan tanpa perubahan. - DagangNews.com