KUALA LUMPUR 3 Nov – Sarawak memfokuskan semula pasaran pelancongan dari China dengan penganjuran Seminar Jaringan Perniagaan Sarawak di Beijing dan Taiyuan, hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Royal Brunei Airlines (RBA).
Inisiatif itu juga adalah momentum penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk Sarawak berusaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, khususnya dari pasaran China.
Program yang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober itu bertujuan mengukuhkan hubungan perniagaan, memperkenalkan produk pelancongan baharu serta merangka kerjasama pembangunan pakej pelancongan bersama pemain industri di China.
Beijing dan Taiyuan dipilih sebagai lokasi utama kerana peranannya sebagai pintu masuk pelancongan penting di utara China, sekali gus memperluas capaian Sarawak kepada pasaran baharu di negara tersebut.
Pengarah Pemasaran STB bagi Asia Utara & Pasaran Baharu, Dylan Redas Noel berkata, misi tersebut adalah simbolik kepada usaha menghubungkan semula hubungan dua hala yang terjejas akibat pandemic sebelum ini.
“Misi ini bukan sekadar seminar, ia adalah menyambung semula hubungan antara Sarawak dan China yang kekal sebagai pasaran strategik terutama bagi industry pelancongan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Royal Brunei Airlines kerana memainkan peranan signifikan membuka kembali akses perjalanan ke negeri itu.

Seminar itu menghimpunkan operator pelancongan Sarawak, ejen pelancongan China, rakan penerbangan serta media, dalam usaha memperkukuh jaringan industri dan merangka pakej menarik berdasarkan lima tonggak pelancongan Sarawak iaitu budaya, alam semula jadi, pengembaraan, makanan dan festival.
Antara sorotan utama ialah penekanan kepada laluan Beijing – Bandar Seri Begawan – Kuching yang dikendalikan RBA, yang membuka akses destinasi berganda dan memudahkan pelancong China ke Borneo.
Sebagai insentif promosi, RBA turut menaja tiket pergi balik ke Kuching bagi pemenang cabutan bertuah yang memberi peluang kepada wakil pelancongan China merasai pengalaman pelancongan Sarawak lebih dekat.
Selain sesi padanan perniagaan dan pembentangan, STB turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat C-Trip, Qunar dan Malaysia Airlines di Beijing — selaras usaha memperkasakan kehadiran digital dan hubungan strategik dengan pemain pelancongan utama China.
Menurut STB, penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membina hubungan jangka panjang dengan rakan pasaran antarabangsa, serta merancakkan kempen promosi Sarawak sebagai destinasi lestari, keunikan dan warisan budaya.
Sarawak kini memberi tumpuan kepada pemulihan dan pertumbuhan semula pelancongan antarabangsa, dengan objektif menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta memanjangkan tempoh tinggal mereka di negeri itu.
Di samping itu, STB terus memperkukuh reputasi global dengan pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk meraih kejayaan dalam anugerah pelancongan seperti TripZilla Excellence Awards, PATA Gold Awards dan BrandLaureate.
Dengan pendekatan strategik ini, Sarawak yakin dapat menjadi antara destinasi utama Borneo bagi pelancong China, sekali gus menyokong sasaran kunjungan pelancong TMM 2026. - DagangNews.com








