KUALA LUMPUR 30 April – Sarawak dan Pahang sedang meneliti potensi mewujudkan penerbangan terus antara kedua-dua negeri sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan dan pelaburan.
Perkara itu antara agenda dibincangkan dalam kunjungan hormat Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke atas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan.
Lawatan tersebut turut disertai delegasi Kerajaan Sarawak sempena Program Usahawan Sarawak 2026 Showcase di Kuantan City Mall, yang bertujuan memperkenalkan produk serta memperluaskan jaringan pasaran usahawan Sarawak ke Semenanjung.
Turut hadir dalam delegasi berkenaan ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Sri Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Lester Matthew.
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi rentas negeri khususnya dalam meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pergerakan logistik.
Cadangan penerbangan terus dilihat sebagai antara inisiatif utama bagi mempercepatkan mobiliti pelancong, pelabur serta komuniti perniagaan antara Sarawak dan Pahang.
Selain itu, kerjasama dalam sektor pelabuhan turut dibincangkan bagi memperluaskan aktiviti perdagangan, termasuk peluang dalam industri halal yang semakin berkembang.
Kedua-dua negeri juga melihat potensi kerjasama dalam sektor pelancongan, khususnya melibatkan pembangunan pelancongan kapal persiaran (cruise) sebagai produk baharu yang boleh dipacu bersama.
Dalam masa sama, tumpuan turut diberikan kepada industri kreatif, dengan songket dikenal pasti sebagai antara bidang yang boleh dimajukan secara komersial sambil mengekalkan nilai budaya.
Awang Tengah berkata Sarawak kekal komited untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain bagi memperkukuh ekonomi domestik, termasuk dalam sektor PKS, perdagangan dan pelaburan.
Beliau turut menghargai sambutan Kerajaan Pahang serta kesediaan negeri itu untuk terus mempererat hubungan dua hala yang telah lama terjalin dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata mereka turut bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan dasar serta inisiatif pembangunan yang boleh dimanfaatkan bersama demi kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri.
“Saya percaya, jalinan kerjasama strategik seperti ini mampu mencetuskan lebih banyak peluang baharu, termasuk dalam sektor industri, pelaburan berimpak tinggi serta pemerkasaan ekonomi wilayah,” katanya.- DagangNews.com








