KUCHING 11 Ogos – Sarawak melancarkan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), satu pelan transformasi bagi mengemudi negeri itu ke arah masa depan tenaga rendah karbon, selamat dan inklusif, yang menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan dasar pertama seumpamanya di Malaysia.
Majlis pelancaran berlangsung sempena Hari Libat Urus Awam-Industri dan Majlis Pelancaran SET-P anjuran Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, SET-P merupakan kerangka menyeluruh dan bersepadu bagi mentransformasi sektor tenaga Sarawak.
“Ia menyatukan semua strategi sedia ada di bawah satu kerangka bersama dan menangani cabaran tiga serampang tenaga – memastikan keselamatan tenaga, memacu kelestarian alam sekitar, serta mengekalkan kemampuan ekonomi,” katanya.
Menjelang tahun 2050, dasar ini dijangka menyumbang RM550 bilion kepada KDNK kumulatif, mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan bergaji tinggi, serta menarik pelaburan antara RM580 bilion hingga RM700 bilion.
Lebih penting, lebih 75% daripada pendapatan yang dijana dijangka memanfaatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus memastikan peralihan tenaga bersifat transformasi dan inklusif.


Tujuh Tonggak Strategik & Lima Pemangkin Utama
SET-P berteraskan tujuh tonggak strategik iaitu tenaga boleh diperbaharui, gas asli, kecekapan tenaga, mobiliti rendah karbon, hidrogen bersih, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), serta tenaga alternatif.
Lima pemangkin utama pula ialah tadbir urus dan peraturan yang kukuh, pembiayaan serta pelaburan inovatif, infrastruktur mantap, teknologi dan inovasi, serta pembangunan tenaga kerja mahir dan adaptif.
Abang Johari turut menjelaskan peluang peralihan tenaga di Sarawak terbahagi kepada tiga kategori utama:
Projek komersial berdaya maju dengan pulangan pasaran, seperti solar berskala utiliti, hidroelektrik, pemodenan grid, dan kebanyakan infrastruktur gas asli negeri.
Inisiatif untuk manfaat awam tanpa pulangan kewangan langsung, termasuk latihan semula tenaga kerja, program kesedaran awam, dan sistem pengangkutan bandar lestari.
Penyelesaian baharu dengan pulangan di bawah pasaran, seperti hidrogen bersih, CCUS, kecekapan tenaga, dan pengangkutan rendah karbon.
Beliau menegaskan, infrastruktur kritikal untuk mengaktifkan hab gas asli Sarawak seperti terminal pengangkutan, jalan akses, dan logistik sokongan juga mungkin termasuk dalam kategori pulangan bawah pasaran.
“Walaupun aset ini penting untuk membuka nilai jangka panjang, ia mungkin tidak memberi pulangan mencukupi untuk menarik modal swasta. Justeru, campur tangan strategik kerajaan amat diperlukan untuk memacu kemajuan,” ujarnya.
Seiring SSB 2030 & Pelan Hidrogen Sarawak
Menurut edaran media, SET-P sejajar dengan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 (SSB 2030) yang dilancarkan pada Mei lalu, yang menggariskan 10 teras strategik untuk pertumbuhan mampan, dengan peralihan tenaga sebagai keutamaan utama.
Ia juga melengkapi Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) yang merangkumi pembangunan keseluruhan rantaian nilai hidrogen, daripada pengeluaran kos efektif, infrastruktur, inovasi, pensijilan hinggalah kepada kesediaan tenaga kerja.
“Gabungan SET-P, SHER dan SSB 2030 membentuk kerangka dasar bersepadu untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Majlis bersejarah ini menghimpunkan lebih 500 peserta daripada kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil bagi bertukar idea, mengukuhkan kerjasama, serta menyelaraskan usaha ke arah masa depan yang lebih hijau.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Menteri MEESty, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. - DagangNews.com








