KUCHING 25 Nov - Sarawak akan memperkenalkan levi karbon ke atas sektor minyak dan gas (O&G) serta tenaga mulai 2026 sebagai sumber hasil baharu negeri ini.
Mengumumkannya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 di Dewan Undangan Negeri pada Isnin, Premier merangkap Menteri Kewangan Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata levi tersebut akan dikenakan ke atas pelepasan yang dihasilkan dalam Sarawak oleh fasiliti terkawal dalam sektor O&G dan tenaga.
“Hasil kutipan daripada levi ini akan disalurkan kepada dana khas perubahan iklim, pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE), inisiatif kecekapan tenaga, pemodenan grid, pemuliharaan hutan serta projek ketahanan iklim yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Sarawak.
“Sarawak bersedia bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan cukai karbon dan struktur harga karbon negara pada masa depan dapat diselaraskan.
“Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023 telah berkuat kuasa dengan sistem pengukuran, pelaporan dan pengesahan yang ditetapkan, pemodelan lanjutan serta perincian dasar sedang dilaksanakan.
“Sarawak berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong dan menerajui usaha penyahkarbonan Malaysia, pencapaian sumbangan ditentukan negara (NDC) dan pembangunan pasaran karbon domestik yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata, levi karbon itu dijangka menjadi sumber hasil masa depan bagi negeri Sarawak.
Menurut Abang Johari, Pelan Hala Tuju Perubahan Iklim Sarawak menetapkan hala tuju peralihan negeri ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim.
Pelan hala tuju itu dibina berasaskan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023 yang memberi kuasa perundangan kepada Sarawak untuk mengawal selia dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca.
“Pelan ini juga menyokong pelaksanaan Sistem Pengurusan Gas Rumah Kaca Sarawak, sebuah platform digital yang akan menjejak pelepasan merentasi sektor serta membantu industri mematuhi keperluan pelepasan.
“Melalui inisiatif ini, Sarawak menyasarkan penyelarasan lebih baik dalam pelaksanaan dasar iklim, kapasiti lebih kukuh dalam mengurus pelepasan karbon serta penerapan lebih meluas amalan lestari dalam kalangan industri.”
Premier itu berkata, bagi menyokong strategi sifar bersih dan pelan karbon Sarawak, Peraturan Flaring dan Venting 2025 telah digubal untuk mengawal pelepasan gas rumah kaca daripada sektor O&G, sekali gus mengukuhkan komitmen negeri terhadap sasaran sifar flaring rutin menjelang 2030.
Pada tahun 2026, kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM7 juta bagi membiayai strategi sifar bersih dan pelan karbonnya, kajian terhadap levi karbon dan harga karbon, pelaksanaan dasar peralihan tenaga serta pengukuran stok karbon hutan di negeri itu. - DagangNews.com








