KUALA LUMPUR 30 Okt – Lebih 80% penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 telah menggunakan bantuan tersebut manakala bakinya, 20% masih belum berbuat demikian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti daripada 20% itu adalah golongan berpendapatan lebih tinggi termasuk Ahli Parlimen dan menteri.
“Saya berharap mereka dalam kategori 20% ini boleh membenarkan dana dikembalikan kepada golongan miskin pada 2026.
“Namun, jika mereka memilih menggunakannya untuk membantu jiran yang kurang berkemampuan, itu juga baik,” katanya dalam Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, inisiatif SARA bukan sahaja menyokong isi rumah miskin tegar, malah membantu mengembangkan perniagaan kecil di seluruh negara.
“Melalui program SARA, kita telah membantu peniaga kecil, daripada 180 sebelum ini kepada lebih 2,000 kedai kecil di seluruh negara.
“Ini memberi peluang kepada peniaga kecil di kampung dan kawasan pedalaman meningkatkan pendapatan perniagaan mereka,” katanya.
Tambahnya, program itu juga akan diteruskan selepas 2026 kerana ia terbukti membantu meringankan beban kewangan rakyat yang memerlukan.
“Melaluinya, rakyat boleh membeli pelbagai barangan keperluan untuk keluarga mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Pusat juga akan bekerjasama untuk kerajaan negeri yang masih mencatatkan paras kemiskinan yang tinggi.
“Antaranya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah berbanding negeri lain yang lebih maju di Semenanjung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 15 bilion diperuntukkan sepanjang tahun ini untuk inisiatif Payung Rahmah.
“Ini termasuk RM600 juta bagi program bantuan yang memberi manfaat kepada 560,000 isi rumah di bawah pangkalan data Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, ialah STR, i-Sara dan bantuan kebajikan lain yang keseluruhannya hampir RM20 bilion,” katanya. - DagangNews.com








