KUALA LUMPUR 4 Dis – Sapura Resources Bhd kembali mencatatkan prestasi lemah bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3Q26), apabila kumpulan itu merekodkan kerugian bersih RM800,000, berbanding keuntungan bersih RM3.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Syarikat menjelaskan penurunan prestasi ini sebahagian besarnya berpunca daripada ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang direkodkan pada 3Q25, termasuk pembalikan perbelanjaan faedah antara syarikat dan peruntukan kerosakan pesawat.
Hasil Merosot, Impak Pemergian Penyewa Utama
Hasil kumpulan susut kepada RM14.5 juta daripada RM19.7 juta sebelum ini, disebabkan pemergian penyewa utama di Sapura @ Mines dan pendapatan lebih rendah daripada aktiviti pengurusan serta pengendalian darat.
Namun begitu, peningkatan kadar penghunian di Menara Permata Sapura membantu mengimbangi sebahagian tekanan hasil.
Ebitda 3Q26 turut menjunam kepada RM9.2 juta daripada RM17.7 juta pada 3Q25. Jika tidak mengambil kira pembalikan peruntukan kerosakan pesawat berjumlah RM7.2 juta pada tahun lalu, Ebitda asas kumpulan sebenarnya adalah hampir setara.
Sapura Resources turut melaporkan kerugian sebelum cukai yang mengecil berbanding suku sebelumnya, dipacu oleh sumbangan lebih tinggi daripada usaha sama dan syarikat bersekutu, yang meningkat RM2.9 juta.
Prestasi 9 Bulan
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir Oktober 2025 (9M26), kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM8.34 juta, lebih lebar berbanding kerugian RM6.1 juta dalam 9M25, sejajar dengan penyusutan hasil kepada RM46.14 juta daripada RM56.96 juta.
Dalam segmen hartanah, walaupun hasil menurun, penjimatan kos kakitangan dan utiliti berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai kepada RM4.52 juta.
Sebaliknya, segmen penerbangan mengalami penyusutan hasil ketara sehingga hanya RM10.34 juta, menyebabkan ia beralih daripada untung RM6.5 juta kepada rugi RM1.19 juta.
Segmen pemegangan pelaburan pula mencatatkan penambahbaikan apabila kerugian sebelum cukai berkurang kepada RM2.6 juta, disokong oleh pulangan lebih tinggi daripada usaha sama.
Prospek: Tumpu Pemulihan & Pengoptimuman Aset
Melangkah ke hadapan, Sapura Resources menjangkakan sumbangan lebih kukuh daripada usaha sama Impian Bebas Sdn Bhd, berikutan penggunaan pusat konvensyen yang semakin meningkat dan kadar penghunian runcit yang bertambah baik.
Menara Permata Sapura terus mengekalkan kadar penghunian 92%, manakala Sapura @ Mines telah berjaya memperoleh penyewa baharu untuk ruang acara serta F&B yang dijangka mula menyumbang kepada hasil dalam masa terdekat.
Syarikat berkata ia kekal komited untuk melaksanakan inisiatif pemulihan perniagaan, merasionalisasi kos, mengoptimumkan aset sedia ada serta meneroka peluang baharu dalam usaha mengembalikan kumpulan kepada landasan keuntungan. - DagangNews.com








