Samenta mahu bantu PKS manfaat peluang perjanjian perdagangan Malaysia–AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta mahu bantu PKS manfaat peluang perjanjian perdagangan Malaysia–AS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan peluang daripada Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini.

 

Samenta berkata, pihaknya akan membantu PKS memahami kod HS (kategori barangan) dan peraturan asal (rules of origin), menyediakan panduan dokumentasi serta pembiayaan eksport, membantu memperoleh sijil piawaian antarabangsa, selain menghubungkan mereka dengan pengedar dan rakan perniagaan di pasaran AS.

 

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan manfaat daripada perjanjian perdagangan ini dapat dirasai secara meluas dan inklusif, khususnya dalam kalangan PKS tempatan.

 

“Di bawah perjanjian ini, sebanyak 1,711 barangan eksport Malaysia akan menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS. 

 

“Ini akan meningkatkan daya saing harga produk negara, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sektor yang dijangka menikmati manfaat awal termasuk elektrik dan elektronik, jentera serta komponen industri, barangan pengguna dan tekstil terpilih, selain produk makanan siap diproses dan produk hiliran hasil pertanian.

 

PKS yang membekalkan kepada sektor-sektor ini juga akan turut menerima limpahan manfaat.

 

Tambahnya, PKS negara berpotensi meraih kelebihan yang lebih besar melalui akses pasaran yang dipertingkatkan ini berbanding pesaing serantau. 

 

t

 

Beliau berkata, perjanjian ini turut membuka ruang kepada produk niche, perkhidmatan khusus dan barangan pengguna berjenama untuk menembusi pasaran AS, yang kekal sebagai pasaran terbesar dunia.

 

“Bagaimanapun, Samenta menegaskan keupayaan PKS untuk memanfaatkan peluang tersebut bergantung kepada tahap kesiapsiagaan mereka. 

 

“Mengeksport ke AS memerlukan pematuhan terhadap piawaian keselamatan produk, pembungkusan dan pelabelan, kebolehpercayaan  pesanan serta sokongan selepas jualan

 

“Oleh itu, PKS kita perlu bersedia memenuhi keperluan ini, walaupun mereka mungkin tidak mengeksport secara langsung ke AS,” katanya.

 

Dalam masa yang sama, Samenta turut menyuarakan kebimbangan tekanan kos domestik seperti logistik, pematuhan dan buruh yang masih menjadi cabaran utama kepada PKS dan perlu ditangani secepat mungkin.

 

“Ini bagi membolehkan mereka bersaing secara berkesan, bukan sahaja dari segi harga tetapi juga kualiti dan kecekapan operasi.

 

“Ini juga penting bagi mempertahankan pasaran tempatan daripada pesaing AS yang mungkin mempunyai jenama lebih kukuh, akses modal lebih luas dan tahap kecanggihan yang lebih tinggi,” tambahnya.

 

Samenta turut menjangkakan perjanjian perdagangan tersebut akan meningkatkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur Amerika Syarikat yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan ke Asia Tenggara, khususnya dalam sektor perkilangan, teknologi digital dan aktiviti industri bernilai tinggi yang membawa bersama pemindahan pengetahuan serta peluang pekerjaan berkualiti.

 

Secara keseluruhannya, beliau berkata, PKS wajar melihat perjanjian ini sebagai isyarat untuk memperkukuh keupayaan, mematuhi piawaian lebih ketat dan menjadi lebih bersedia untuk mengeksport.

 

Kerajaan dan pihak industri juga perlu bekerjasama rapat bagi memastikan tekanan kos domestik dapat diurus dengan baik, supaya PKS tempatan dapat menikmati manfaat sepenuhnya daripada perjanjian ini. - DagangNews.com