Samenta gesa penubuhan Tribunal Cukai, cadang empat teras lindungi PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta gesa penubuhan Tribunal Cukai, cadang empat teras lindungi PKS

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Jan – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan mempertimbangkan penubuhan Tribunal Cukai yang lebih adil dan berkesan, ketika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan tekanan pematuhan cukai yang semakin agresif susulan pelaksanaan penuh e-invois dan kawalan ketat di bawah kerangka Ekonomi Madani.

 

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, peningkatan audit cukai secara tegas kebelakangan ini telah memberi tekanan besar kepada PKS yang sedia bergelut dengan aliran tunai terhad dan kos operasi yang meningkat.

 

Menurut Samenta dalam kenyataan hari ini, mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada dilihat tidak mencukupi, mahal dan memakan masa, sekali gus meletakkan PKS dalam kedudukan tidak seimbang apabila terpaksa berhadapan dengan agensi kerajaan yang mempunyai sumber jauh lebih besar.

 

“PKS sering dipaksa mempertahankan diri dalam persekitaran yang tidak seimbang, seolah-olah wujud andaian bersalah sejak awal. Keadaan ini tidak mencerminkan prinsip keadilan dalam sebuah demokrasi moden,” katanya.

 

Sehubungan itu, Samenta mengemukakan empat teras utama bagi memastikan Tribunal Cukai yang dicadangkan benar-benar berfungsi untuk melindungi kira-kira 1.2 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

 

Teras pertama ialah penubuhan Tribunal Cukai Pendapatan dan Kastam yang bersatu, bagi menggantikan keperluan PKS berurusan dengan dua saluran berasingan iaitu Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan Tribunal Rayuan Kastam (CAT).

 

Menurut Samenta, seorang pengusaha tidak seharusnya dipaksa berhadapan dua agensi berbeza dengan kos guaman yang berasingan bagi tempoh perniagaan yang sama.

 

Teras kedua melibatkan arbitrasi mandatori dan mengikat bagi tuntutan kecil, khususnya pertikaian di bawah RM100,000. 

 

Samenta berpandangan keputusan tribunal perlu muktamad dan mengikat kedua-dua pihak, sama ada pembayar cukai atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), bagi mengelakkan PKS terheret dalam perbicaraan panjang di Mahkamah Tinggi.

 

Bagi teras ketiga, Samenta mencadangkan penggantungan automatik kutipan cukai dalam tempoh 30 hari selepas Notis Rayuan difailkan. 

 

Menurutnya, dasar “bayar dahulu, pertikai kemudian” di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan disifatkan sudah lapuk dan berisiko menyebabkan penutupan perniagaan akibat kekangan modal kerja, walaupun penilaian cukai itu akhirnya terbukti tidak tepat.

 

Teras keempat pula menekankan penghapusan jargon perundangan dalam prosiding tribunal. 

 

Samenta berkata, tribunal perlu menjadi medan fakta dan realiti komersial, bukannya medan teknikal undang-undang yang menyukarkan PKS mempertahankan diri tanpa khidmat peguam atau ejen cukai.

 

“Percukaian seharusnya menjadi sumbangan kepada pembinaan negara, bukan alat tekanan pentadbiran. PKS mesti diberi ruang yang adil untuk mempertikaikan penemuan yang dianggap tidak wajar,” kata William Ng.

 

Menurut Samenta, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi merealisasikan cadangan ini, termasuk penglibatan wakil industri dalam reka bentuk Tribunal Cukai agar ia selari dengan realiti sebenar dunia perniagaan.

 

Tambahnya, walaupun perniagaan wajib membayar cukai dan tiada kompromi terhadap pengelakan cukai, PKS juga berhak kepada proses pertikaian yang saksama demi melindungi pencipta kekayaan negara serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur dan usahawan. - DagangNews.com