SAMENTA beri amaran: tanpa dasar bersasar, PKS terus tertekan walau KDNK berkembang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAMENTA beri amaran: tanpa dasar bersasar, PKS terus tertekan walau KDNK berkembang

Tinjauan terbaharu SAMENTA mendapati PKS tertekan dengan peningkatan kos operasi, beban pematuhan peraturan yang semakin berat. - Gambar hiasan oleh Firdaus Latif
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Sept - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dilihat masih optimis berhati-hati terhadap prospek ekonomi negara, namun kebimbangan mengenai kos yang meningkat, permintaan lemah serta kekurangan bakat terus menghantui kelangsungan dan pertumbuhan sektor itu.

 

Menurut Tinjauan Prospek PKS SAMENTA 2025/26, yang dijalankan dengan kerjasama Ipsos, sebanyak 65% PKS percaya ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul, manakala 91% pula menjangkakan pendapatan mereka kekal stabil atau meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

Namun, majoriti responden mengakui mereka tertekan dengan peningkatan kos operasi, permintaan domestik yang perlahan, kesukaran mendapatkan tenaga kerja mahir serta beban pematuhan peraturan yang semakin berat dan merupakan faktor-faktor yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kos meningkat jadi kebimbangan utama

Presiden Nasional SAMENTA, Datuk William Ng, berkata walaupun tinjauan menunjukkan sentimen positif, realitinya banyak PKS beroperasi dalam keadaan serba mencabar.

 

“PKS optimis berhati-hati terhadap ekonomi, tetapi optimisme semata-mata tidak cukup untuk menggerakkan jarum. Tujuh daripada sepuluh PKS hanya mempunyai rizab tunai kurang daripada enam bulan, manakala 40% menyatakan inflasi sebagai cabaran terbesar mereka,” katanya.

 

Beliau memberi amaran tanpa dasar yang bersasar untuk merapatkan jurang pembiayaan, mengurangkan beban peraturan dan merangsang permintaan, Malaysia berisiko berdepan dengan apa yang digelar sebagai ekonomi berbentuk K.

 

“Dalam keadaan itu, syarikat-syarikat besar dan KDNK negara mungkin menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, tetapi PKS terus bergelut untuk bertahan,” tambahnya.

 

Reformasi perlu seimbang

Ng turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan kepada sektor PKS, serta mengalu-alukan pelbagai reformasi fiskal dan tenaga kerja.

 

Namun katanya, ramai pengusaha kecil sedang berhadapan kesukaran menyesuaikan diri dengan kadar perubahan yang terlalu pantas — termasuk pelaksanaan rasionalisasi cukai dan subsidi, mandat tenaga kerja, serta tuntutan pematuhan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Jika prinsip kesepadanan tidak digunakan dalam melaksanakan pembaharuan ini, kita berisiko menghapuskan PKS dan menggagalkan pencapaian yang dibina bertahun-tahun,” tegas beliau.

 

Hasrat untuk berkembang, tetapi tidak seimbang

Sementara itu, Ketua Serantau Strategi Ipsos Asia Pasifik, Kiranjit Singh, berkata dapatan tinjauan tersebut membayangkan wujudnya peluang untuk pertumbuhan, tetapi pada masa yang sama mendedahkan kerentanan yang nyata.

 

“Lebih separuh daripada PKS merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam tempoh enam bulan akan datang, dan 69% akan menyesuaikan harga untuk menampung kos yang lebih tinggi,” jelasnya.

 

“Ia menunjukkan hasrat untuk berkembang. Namun gambaran keseluruhan tidak seimbang, dengan PKS lebih lama bertapak di bandar lebih bersedia, manakala PKS yang lebih muda serta yang beroperasi di Pantai Timur kekal terdedah.”

 

PKS mudah terdedah kepada kejutan ekonomi

Berdasarkan dapatan itu, sebanyak 70% PKS hanya mempunyai rizab tunai kurang daripada enam bulan, menjadikan mereka mudah terdedah kepada kejutan ekonomi. Malah 40% meletakkan inflasi sebagai cabaran utama, diikuti permintaan lemah (33%) dan tekanan pematuhan peraturan (26%).

 

Walaupun 74% PKS dilaporkan mempunyai rancangan latihan tenaga kerja, kadar pendigitalan serta penerimaan ESG dalam kalangan mereka masih dianggap perlahan.

 

Tinjauan itu turut mendapati sentimen lebih optimis disuarakan oleh PKS di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang, manakala firma di Pantai Timur kekal berhati-hati.

 

 

 

 

 

 

Seruan mendesak untuk bertindak

“Tinjauan ini adalah seruan mendesak untuk bertindak. Kita tidak boleh bergantung kepada angka ekonomi utama semata-mata kerana ia menutup realiti di lapangan,” kata Ng lagi.

 

“Jika kita mahu PKS menyumbang 50% kepada KDNK menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, kita mesti mempercepatkan proses pendigitalan, menyokong peralihan hijau, memperkukuh bakat tempatan dan menjadikan pembiayaan lebih adil serta inklusif.” - DagangNews.com