Samaiden rancang beli tanah berharga RM45.5 juta di Teluk Intan untuk projek ladang solar berskala utiliti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden rancang beli tanah berharga RM45.5 juta di Teluk Intan untuk projek ladang solar berskala utiliti

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Samaiden Group Berhad, syarikat pembekal penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) akan membeli tanah seluas 185.57 hektar yang berharga RM45.5 juta di Teluk Intan, Perak untuk membangunkan ladang solar berskala utiliti.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, tanah tersebut terletak berhampiran sebuah pencawang voltan tinggi yang dapat membantu mengurangkan kerumitan dan kos penyambungan grid.

 

"Ia bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk projek solar milik sendiri, malah berpotensi untuk disewakan kepada pemaju solar lain.

 

"Kumpulan akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta pentauliahan (EPCC), termasuk penyampaian projek berkaitan.

 

"Pendekatan dua hala ini membolehkan kumpulan membuka potensi nilai melalui pemilikan langsung atau pembangunan bersama, sambil mengekalkan kawalan terhadap pelaksanaan projek dan memastikan penglibatan berterusan dalam rantaian nilai solar," kata Samaiden.

 

Pengambilalihan tanah tersebut daripada Kelapa Sawit (Teluk Anson) Sdn Bhd akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana dalaman. 

 

Transaksi itu dijangka selesai menjelang separuh pertama tahun 2026.

 

 - DagangNews.com