KUALA LUMPUR 13 April – Saint-Gobain memperkukuh kedudukannya di Malaysia dengan mengadakan usaha sama strategik bersama syarikat pengilang Sarawak, Flinken Group bagi meningkatkan pengeluaran bahan binaan ringan dan mapan untuk menampung permintaan di Asia Tenggara yang semakin meningkat.
Menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak merancang pelaburan modal berfasa termasuk peningkatan kemudahan pembuatan dan pembangunan hab logistik khusus di Sarawak yang berpotensi menjadi pangkalan eksport serantau.
Di bawah perjanjian tersebut, entiti baharu dikenali sebagai Saint-Gobain Flinken diwujudkan dengan pecahan ekuiti 70% oleh Saint-Gobain, peneraju global pengeluar bahan binaan ringan mapan dari Perancis manakala baki 30% dipegang oleh Flinken Group.
Kerjasama itu dijangka menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan binaan mampan di Malaysia dan Asia Tenggara, selain memperkukuh keupayaan pengeluaran serta rangkaian logistik di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Asia, Ludovic Weber berkata, kerjasama tersebut mencerminkan gabungan kepakaran global dan keupayaan tempatan bagi mempercepatkan peralihan ke arah pembinaan mampan.
“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia, malah membina platform yang memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk menyokong pembangunan penyelesaian pembinaan lebih cekap di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengasas Flinken Group, Marcus Chai berkata, kerjasama itu membuka lembaran baharu dalam pertumbuhan syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai pengeluar mortar berkualiti tinggi di Sarawak.
“Kami komited untuk terus berkembang bersama rakan strategik global ini sambil menyumbang kepada pembangunan industri bahan binaan tempatan,” katanya.
Industri pembinaan Malaysia kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi, disokong oleh proses perbandaran pesat, pembangunan infrastruktur serta permintaan yang meningkat terhadap persekitaran binaan yang mampan.
Seiring dengan itu, pasaran bahan binaan hijau negara dijangka berkembang ketara daripada AS$385.4 bilion pada 2025 kepada AS$677.2 bilion menjelang 2031, mencerminkan peralihan industri ke arah penyahkarbonan dan kecekapan tenaga.
Dalam konteks serantau, Sarawak turut mempergiat agenda pembangunan mampan melalui Pelan Induk Kelestarian 2030 yang memberi tumpuan kepada inisiatif bangunan hijau dan bandar pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Malaysia dan Singapura, Lynette Siow berkata, dekad akan datang bakal menyaksikan teknologi, inovasi dan kelestarian menjadi pemacu utama landskap pembinaan negara.
“Usaha sama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap prospek jangka panjang Malaysia serta kesediaan industri untuk beralih daripada aspirasi kepada pematuhan dalam agenda kelestarian,” katanya.
Selain itu, usaha sama berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi pengeluaran maju dan produk mesra alam, di samping menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan bakat tempatan.
Inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui empat teras utama iaitu penyelidikan dan inovasi, pembangunan bakat, pembinaan mampan serta penglibatan komuniti dan dasar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS), Chew Chang Guan berkata, kerjasama strategik seperti ini memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan langsung asing serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
“Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi hijau dan modal insan,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di pejabat STATOS di Singapura, disaksikan oleh wakil kedua-dua pihak serta tetamu kehormat. - DagangNews.com








