Saint-Gobain, Flinken bentuk syarikat usaha sama perkukuh sektor pembinaan mampan di Sabah dan Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saint-Gobain, Flinken bentuk syarikat usaha sama perkukuh sektor pembinaan mampan di Sabah dan Sarawak

Foto ihsan Saint-Gobain
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac – Saint-Gobain memeterai perjanjian rasmi dengan pakar bahan binaan di Kuching, Sarawak, Flinken Group Sdn Bhd, bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) di Malaysia.


Kumpulan pembinaan ringan dan mampan global yang berpangkalan di Perancis itu berkata, di bawah terma perjanjian tersebut, ia dijangka memegang 70% kepentingan majoriti dalam JV berkenaan.


Sementara Flinken pula yang merupakan pengeluar pelbagai jenis produk campuran kering, mengekalkan baki 30% kepentingan, namun tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia berkaitan.


"Langkah strategik ini bertujuan untuk memperluaskan jejak Saint-Gobain dalam pasaran kimia pembinaan yang semakin berkembang pesat di rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.


Kerjasama antara dua syarikat itu menggabungkan kepakaran global Saint-Gobain dengan keupayaan pembuatan tempatan serta pengetahuan mendalam Flinken mengenai pasaran di Sabah dan Sarawak.


Inisiatif ini juga dilihat selari dengan tumpuan Belanjawan 2026, apabila kedua-dua negeri itu menerima peruntukan pembangunan yang tertinggi bagi usaha memacu pertumbuhan masing-masing.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Malaysia & Singapura, Lynette Siow berkata, perjanjian ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran syarikat itu di Malaysia.


"Ini terutamanya di pasaran Sabah dan Sarawak yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi jangka panjang kukuh," katanya. Saint-Gobain memiliki 161,000 pekerja di lebih 80 negara.


Kumpulan tersebut mencatatkan jualan keseluruhan mencecah sebanyak 46.5 bilion euro (kira-kira RM214.84 bilion) sepanjang 2025 dan komited mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.


Sementara itu, Pengarah Urusan Flinken, Marcus Chai menyifatkan kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan syarikat untuk meraih peluang pertumbuhan masa hadapan di Sarawak dan sekitarnya.


Kerjasama tersebut ujarnya, mampu dicapai melalui mekanisme rumusan bangunan inovatif dan mampan, dengan transaksi ini dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan akan datang. - DagangNews.com