KUALA LUMPUR 23 Okt – Saham THMY Holdings Bhd dibuka pada harga 80 sen, melonjak 158% lebih tinggi pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Kenaikan itu menunjukkan permintaan tinggi pelabur berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen sesaham.
Pencapaian itu menjadikan THMY antara saham baharu terbaik yang disenaraikan di Pasaran ACE tahun ini.
Selepas sedikit penyusutan awal, saham THMY kembali meningkat kepada 80 sen pada pukul 9.10 pagi dengan lebih 87 juta saham bertukar tangan.
Pada harga tersebut, syarikat itu mencatatkan nilai pasaran melebihi RM710 juta.
Ketika melancarkan prospectus pada 29 September lalu, penyedia rumusan ujian automasi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) itu menyasarkan kutipan sehingga RM44.6 juta IPO tersebut.
Daripada hasil kutipan itu, syarikat tersebut merancang memperuntukkan 58.1% untuk pembinaan kilang baharu, manakala 11.7% digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank.
Selebihnya diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan (8.3%), modal kerja (6.9%), perbelanjaan reka bentuk dan penyelidikan & pembangunan (4.3%) serta kos penyenaraian.
Pada 13 Oktober pula, IPO THMY dilaporkan terlebih langgan sebanyak 35.57 kali.
Kumpulan itu menerima sejumlah 16,052 permohonan bagi 1.62 bilion saham terbitan mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 35.57kali.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,560 permohonan diterima untuk 642.06 juta saham terbitan, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 27.92 kali manakala bahagian awam, sebanyak 8,492 permohonan dikemukakan untuk 981.68 juta saham terbitan, menghasilkan kadar lebihan langganan sebanyak 43.22 kali.
Sebanyak 23.53 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk permohonan pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, peruntukan persendirian sebanyak 53.78 juta saham terbitan kepada pelabur terpilih juga dilanggan sepenuhnya.
Bermula daripada pejabat kecil di Perai, Pulau Pinang, kini THMY telah berkhidmat kepada 40 pelanggan multinasional (MNC) pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY2025). - DagangNews.com








