KUALA LUMPUR 30 Okt – LPC Group Berhad memulakan dagangan sulungnya di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini, dengan saham dibuka pada RM0.40 sesaham iaitu premium sebanyak 300% berbanding harga rujukan penyenaraian RM0.10.
Peningkatan tersebut menandakan keyakinan pelabur terhadap prestasi serta strategi pertumbuhan syarikat pembinaan yang berpangkalan di Melaka itu.
Pengarah LPC Group Berhad, Ching Tai Kuen berkata, penyenaraian itu adalah satu lagi peristiwa penting buat syarikat selepas membina asas kukuh dalam industry dengan menyiapkan projek yang diamanahkan tepat pada masanya.
“Saat kami berkembang ke wilayah baharu dan menerima teknologi pembinaan moden, kami kekal komited memberi nilai mampan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ditubuhkan pada 1987, anak syarikat milik penuh Lai Pau Construction Sdn Bhd merupakan kontraktor utama Gred G7 CIDB yang layak melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak.
Sehingga kini, LPC telah melaksanakan lebih 400 projek bernilai lebih RM900 juta merangkumi bangunan kediaman, komersial, perindustrian dan infrastruktur, terutamanya di Melaka.
Sehingga 31 Ogos 2025, buku pesanan belum dibilkan syarikat berjumlah RM42.6 juta, memberikan jaminan pendapatan bagi tahun kewangan seterusnya.
LPC turut merancang mengembangkan kehadiran syarikat itu ke Johor dan Lembah Klang untuk memanfaatkan projek infrastruktur dan perkembangan hartanah swasta.
Memandangkan penyenaraian dibuat menerusi kaedah pengenalan, tiada penerbitan saham baharu dilakukan.
Namun, syarikat berjaya meraih RM3.8 juta daripada pelabur pra-penyenaraian melalui penempatan persendirian pada harga RM0.10 sesaham, bagi modal kerja dan kos penyenaraian.
Penyenaraian di Pasaran LEAP turut dijangka meningkatkan keterlihatan jenama korporat LPC, sekali gus memudahkan kerjasama strategik dan peluang pertumbuhan masa depan.
Eco Asia Capital Advisory bertindak sebagai Penasihat Diluluskan dan Penasihat Berterusan bagi penyenaraian itu. - DagangNews.com







