KUALA LUMPUR 30 Mac – Saham BIMOffice Group Berhad melonjak naik pada hari pertama penyenaraiannya di Pasaran LEAP Bursa Malaysia apabila dibuka pada RM0.265 sesaham, mencatat kenaikan 76.67% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.15.
Penyenaraian ini adalah satu langkah penting bagi syarikat penyedia rumusan digital Pemodelan Makluman Bangunan (Building Information Modelling - BIM) untuk industri pembinaan.
BIMOffice, yang ditubuhkan pada 2017 melalui subsidiari BIM Office Sdn. Bhd., menyediakan perkhidmatan konsultansi BIM, koordinasi reka bentuk digital, dan pelaksanaan perisian BIM.
Syarikat ini menyokong projek sepanjang kitaran hayatnya, dari perancangan dan reka bentuk, hingga pelaksanaan pembinaan dan pengurusan aset digital selepas siap, membantu mengurangkan kesilapan reka bentuk dan meningkatkan kecekapan projek.
Antara projek utama BIMOffice termasuk penglibatan dalam pembangunan pusat kewangan antarabangsa di Kuala Lumpur, projek Rapid Transit System Link Johor Bahru–Singapura, serta kerja fit-out BIM di Menara Merdeka 118.
Syarikat juga telah memulakan projek luar negara pertama pada 2024 dengan Kerajaan Singapura untuk meningkatkan kualiti dan kawalan projek.
Seiring dengan penyenaraian, BIMOffice menerbitkan sebanyak 20 juta saham baharu pada harga RM0.15 sesaham, memperoleh hasil kasar RM3 juta untuk modal kerja, pelaburan infrastruktur digital, dan kos berkaitan penyenaraian.
Ini membolehkan syarikat memperluas operasi dan meningkatkan keupayaan teknologi untuk mengambil projek BIM yang lebih besar dan kompleks.
Pengarah Urusan BIMOffice, Ts. Ooi Choon Lim berkata penyenaraian ini memperkukuh platform korporat syarikat dan menyokong transformasi digital industri pembinaan Malaysia.
“Sejak awal penubuhan, kami telah bekerja rapat dengan pelanggan untuk memahami cabaran sebenar dalam pelaksanaan projek. Pengalaman ini membentuk pendekatan kami yang menekankan inovasi praktikal, kerjasama kukuh dan komitmen untuk membantu pelanggan mencapai hasil projek yang lebih baik melalui BIM.
“Dengan sokongan berterusan pihak berkepentingan, kami kini berada pada posisi yang lebih baik untuk mempercepat pembangunan kemampuan teknologi dan memperluas nilai yang kami sampaikan kepada ekosistem pembinaan.
“Syarikat menyasarkan peningkatan penggunaan BIM, sejajar dengan mandat kerajaan untuk projek bernilai RM10 juta ke atas menjelang 2030,” katanya. - DagangNews.com








