Saham bermodal besar sektor perbankan berdepan tekanan berikutan penstrukturan FBM KLCI, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham bermodal besar sektor perbankan berdepan tekanan berikutan penstrukturan FBM KLCI, kata CIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 April — Kebanyakan saham bermodal besar khususnya sektor perbankan dijangka berdepan tekanan susulan cadangan penstrukturan semula FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).


Menurut CIMB Securities, langkah penyusunan termasuk perluasan daripada 30 kepada 50 kaunter itu, sekiranya dilaksanakan dijangka mengurangkan wajaran mereka dalam indeks penanda aras tersebut


Tambah firma penyelidikan berkenaan, cadangan itu akan menyebabkan pencairan wajaran saham-saham utama, terutama bank, dan berpotensi mencetuskan pelarasan pegangan oleh dana penjejakan indeks.


"Antara yang dijangka menerima kesan akibat pengurangan wajaran terbesar ialah Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad," katanya dalam nota analisis hari ini.


Bagaimanapun pada masa sama, CIMB Securities mengekalkan pandangan positif terhadap cadangan usaha pembaharuan FBM KLCI tersebut yang dikemukakan bersama oleh Bursa Malaysia dan FTSE Russell.


Pengembangan indeks dijangka meningkatkan liputan permodalan pasaran kepada sekitar 70% berbanding 60% pada ketika ini, selain mengurangkan kepekatan sektor dan memperluaskan kepelbagaian industri.

 

Bursa Malaysia_DagangNews


Berdasarkan kepada simulasi unjuran jelas firma penyelidikan berkenaan, indeks tersebut apabila diperluaskan berpotensi untuk mengatasi rekod prestasi KLCI semasa kira-kira 60 mata setahun.


"Selain itu, penstrukturan ini dijangka memberi kelebihan kepada syarikat dalam sektor hartanah, perindustrian, tenaga, pengguna, teknologi dan penjagaan kesihatan," tambah CIMB Securities.


Antara berpotensi meraih manfaat daripada kemasukan ke dalam indeks termasuk Dialog Group Berhad, United Plantations Berhad, KPJ Healthcare Berhad, TIME dotCom Berhad dan IJM Corporation Berhad.


Firma itu turut menjangkakan berlakunya aliran dana sekali sahaja apabila dana indeks menstruktur semula portfolio mereka, dengan pengurangan pendedahan kepada sektor bank, utiliti dan bahan asas.


Di samping itu jelas CIMB Securities, cadangan had wajaran maksimum 10% bagi setiap saham dalam FBM KLCI dilihat sebagai langkah penting untuk mengelakkan dominasi oleh syarikat bermodal besar.


"Cadangan tersebut kini dalam proses maklum balas daripada pemain pasaran sehingga 24 April 2026, dengan pelaksanaan berpotensi dilaksanakan sama ada pada Disember 2026 atau Jun 2027," katanya.


Secara keseluruhan, walaupun penstrukturan ini memberi tekanan jangka pendek kepada saham bermodal besar, langkah strategik itu mampu memperkukuh pasaran modal dalam jangka panjang. - DagangNews.com