KUALA LUMPUR 1 April — Kejatuhan hampir 22% harga saham Aeon Co (M) Berhad dalam tempoh setahun menimbulkan persoalan terhadap prospek kumpulan itu, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpandangan, isu penyusutan berkenaan memberi petunjuk teknikal dan penilaian semasa kepada isyarat awal potensi pemulihan semula dalam masa terdekat.
Tambahnya, ia melihat tanda-tanda harga saham kumpulan rangkaian peruncitan tersebut mula membentuk paras dasar selepas pernah susut daripada julat antara RM1.30 hingga RM1.50 kepada sekitar RM1.07.
"Kejatuhan sekitar 22% daripada paras tertinggi enam bulan iaitu RM1.35 kepada RM1.05 menyaksikan harga saham Aeon kini diramal stabil berhampiran paras sokongan teknikal," kata HLIB dalam nota.
Jelas firma tersebut, dengan indikator momentum yang mula memasuki zon terlebih jual, profil 'risiko-ganjaran' saham syarikat berkenaan kini dilihat lebih menarik untuk diberikan perhatian oleh pelabur.
Dari sudut penilaian pula ujarnya, saham itu kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26 sekitar 9.3 kali, jauh lebih rendah berbanding purata sejarah lima tahun sebanyak 22.8 kali.
Situasi ini kata HLIB, berpotensi menarik minat pembeli nilai, dan ia menjangka jika momentum pemulihan berterusan, saham Aeon berpotensi menguji paras rintangan pada RM1.15, sebelum diikuti RM1.19.

"Sebaliknya, paras sokongan terdekat dilihat pada RM1.05, dengan lantai lebih kukuh pula diramal pada RM1.01 dan 96 sen, manakala paras henti rugi disyorkan apabila mencecah 99 sen," jelasnya.
Dari sudut asas, prestasi syarikat ini terus disokong segmen pengurusan hartanah yang stabil, didorong kadar penghunian kukuh, semakan sewa positif dan strategi campuran penyewa lebih optimum.
Selain itu kata HLIB, produktiviti aset Aeon dijangka naik melalui kerja naik taraf dan perluasan pusat beli-belah, termasuk pembukaan pasar raya baharu serta pengembangan premis yang sedia ada.
Dalam segmen runcit pula jelasnya, kumpulan berkenaan turut mempercepatkan pengembangan produk jenama sendiri bagi meningkatkan margin keuntungan, sejajar perubahan corak perbelanjaan pengguna.
"Bagi tahun kewangan 2025, syarikat ini sudah mencatat peningkatan keuntungan bersih kira-kira 4.5% kepada RM133.78 juta, manakala hasil pada FY25 meningkat sedikit kepada RM4.29 bilion," tambahnya.
Secara keseluruhan, HLIB berpandangan tekanan harga saham semasa mungkin bersifat sementara, dengan asas perniagaan Aeon stabil berpotensi menyokong pemulihan dalam masa terdekat. - DagangNews.com








