Sabah, Sarawak perlukan pelabuhan bertaraf antarabangsa tingkatkan daya saing eksport – Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah, Sarawak perlukan pelabuhan bertaraf antarabangsa tingkatkan daya saing eksport – Johari

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun – Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemacu utama eksport negara namun keupayaan itu masih terhalang oleh kekangan infrastruktur terutama kapasiti pelabuhan yang belum mencapai standard antarabangsa.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kedua-dua negeri itu kaya dengan sumber semula jadi, tetapi potensi tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sistem logistik yang efisien dan moden.

 

Beliau berkata, pelabuhan yang tidak berada pada taraf antarabangsa akan mengehadkan kehadiran kapal dagang besar, sekali gus mengurangkan jumlah perdagangan yang boleh dijana.

 

“Jika kita tidak mempunyai pelabuhan bertaraf antarabangsa, banyak kapal tidak akan singgah dan jika singgah sekalipun, ia bergantung kepada keupayaan pelabuhan menampung jumlah kargo,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan–Semporna) berhubung usaha memperkukuh daya saing eksport di Malaysia Timur dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau, kapasiti pelabuhan yang terhad turut menjejaskan aliran masuk dan keluar barangan seterusnya mengurangkan daya saing perdagangan Malaysia di peringkat global.

 

Johari berkata, usaha menaik taraf pelabuhan memerlukan pelaburan besar merangkumi penambahan kapasiti, penambahbaikan fasiliti serta peningkatan kecekapan operasi logistik.

 

Beliau memberi contoh di Sabah, apabila jumlah kontena yang tiba kadangkala melebihi kemampuan pelabuhan sedia ada untuk menguruskannya menyebabkan timbulnya isu daya maju jangka panjang.

 

Katanya, jika pembangunan pelabuhan tidak diberi keutamaan, Sabah dan Sarawak akan terus berdepan cabaran untuk menarik lebih banyak laluan perdagangan antarabangsa.

 

t

 

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah memberi autonomi kepada Sarawak untuk mengurus pembangunan pelabuhannya sendiri dengan sokongan berterusan daripada Putrajaya.

 

“Pendekatan sama boleh dibincangkan dengan kerajaan negeri Sabah bagi merangka peluasan dan pemodenan infrastruktur pelabuhan secara lebih menyeluruh.

 

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan potensi ekonomi Malaysia Timur dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

 

Selain isu infrastruktur, Johari turut menekankan kepentingan pembangunan industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah eksport negara.

 

Beliau berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada eksport bahan mentah semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah pemprosesan bernilai tinggi.

 

Sebagai contoh, industri minyak sawit kini menjadi model kejayaan transformasi ekonomi negara apabila berkembang daripada eksport bahan mentah kepada produk hiliran bernilai tinggi.

 

Katanya, Malaysia kini mengeluarkan kira-kira 20 juta metrik tan minyak sawit yang menjana sehingga RM150 bilion nilai eksport melalui produk hiliran.

 

Beliau menjelaskan bahawa 20 hingga 30 tahun lalu, negara hanya mengeksport minyak sawit mentah, namun kini ia telah berkembang kepada pelbagai produk bernilai tinggi untuk pasaran global.

 

Johari berkata transformasi itu membuktikan bahawa peralihan daripada komoditi mentah kepada produk bernilai tambah tinggi adalah kunci memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global. - DagangNews.com