Sabah Mineral Management saman MalaysiaNow berhubung laporan lesen perlombongan kepada Bumi Suria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah Mineral Management saman MalaysiaNow berhubung laporan lesen perlombongan kepada Bumi Suria

KOTA KINABALU 25 Julai - Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap portal berita MalaysiaNow berhubung beberapa artikel dan video yang didakwa bersifat fitnah, palsu dan mengelirukan.

 

Menurut SMM, penerbitan berkenaan menuduh syarikat itu telah menganugerahkan lesen penerokaan kepada Bumi Suria Sdn Bhd – satu dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak syarikat.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, SMM menyatakan MalaysiaNow gagal mendapatkan penjelasan atau komen daripada syarikat itu sebelum menerbitkan laporan berkenaan.

 

“Penerbitan tersebut berat sebelah, bersifat satu hala, dan dilihat sebagai cubaan terancang untuk mencemarkan nama baik SMM, para pengarah serta pegawai syarikat,” kata kenyataan itu.

 

Bagi memperjelaskan perkara tersebut, SMM menggariskan fakta-fakta berikut:

 

1. SMM Tiada Kuasa Keluarkan Lesen Penerokaan
Di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960, hanya Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan lesen penerokaan. Perkara ini telah disahkan oleh Pengarah JTU melalui kenyataan media bertarikh 24 Julai. Tiada lesen – sama ada penerokaan mahupun lain-lain – pernah dikeluarkan kepada Bumi Suria.

 

2. Peranan dan Bidang Kuasa SMM
SMM berperanan sebagai badan pengurusan pusat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi menjalankan penilaian teknikal dan kewangan terhadap permohonan lesen serta memantau pematuhan peraturan.
SMM hanya boleh mengeluarkan Surat Kebenaran Bersyarat untuk Memohon Lesen Penerokaan selepas perbincangan oleh Lembaga Pengarah. Namun, surat ini tidak memberi sebarang kuasa atau kelulusan lesen. Pemohon masih perlu melalui proses ketekunan wajar (due diligence) dan mengemukakan dokumen lengkap kepada agensi kerajaan berkaitan.

 

3. Kelulusan Bersyarat Bumi Suria Telah Dibatalkan
Bumi Suria pernah diberi kelulusan bersyarat untuk memohon lesen, namun gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan. Pada 24 Mac, SMM telah mengeluarkan Surat Pembatalan Kebenaran untuk Memohon kepada syarikat tersebut. Fakta ini didakwa telah diabaikan oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka.

 

4. Penyalahgunaan Imej Ketua Pegawai Eksekutif
SMM turut menuduh MalaysiaNow menyalahgunakan imej Ketua Pegawai Eksekutifnya, Natasha Sim, dengan menyiarkan gambarnya bersama klip audio yang tidak mengandungi suara beliau. “Perbuatan salah gambaran ini adalah tidak beretika dan tidak boleh diterima,” ujar kenyataan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi gesa SPRM siasat bekas pembantu PM, Farhash berhubung dakwaan lesen perlombongan di Sabah

 

SMM turut memberi amaran kepada semua pihak media dan individu agar tidak menyiarkan semula atau merujuk laporan MalaysiaNow yang didakwa sebagai palsu.

 

Syarikat itu juga telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding fitnah terhadap MalaysiaNow serta mana-mana pihak yang menyebarkan semula kandungan tersebut. - DagangNews.com