KUALA LUMPUR 12 Dis – Sabah hari ini melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 megawatt (MW) di Lahad Datu yang bakal mencatat sejarah menjadi fasiliti penyimpanan tenaga yang bukan sahaja terbesar di Malaysia, malah terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek di bawah seliaan Sabah Electricity itu dibangunkan bagi mengukuhkan kestabilan grid elektrik negeri, mengurangkan kebergantungan kepada diesel serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik untuk rakyat, selain mengurangkan risiko gangguan bekalan khususnya di Pantai Timur dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Ucapan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
Hajiji berkata BESS Lahad Datu merupakan salah satu projek utama di bawah Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SERAMP 2040), pelan induk pembangunan tenaga negeri yang menumpukan kepada tiga teras utama: keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Semua inisiatif ini penting untuk memastikan kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari tahun lalu membolehkan negeri itu menggubal dasar sendiri, mempercepatkan kelulusan projek dan memperkukuh perancangan tenaga melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Bagi memperkukuh kapasiti penjanaan, Hajiji memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan hampir 1,000MW kapasiti baharu, melibatkan tenaga hidro, solar dan angin.
ECoS juga telah membuka bidaan solar berskala besar (LSS) bagi loji tenaga berkapasiti 1MWac hingga 15MWac, dengan 15 projek melibatkan 199MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.
“Dengan projek sedia ada dan yang akan datang, kapasiti LSS Sabah dijangka melepasi 350MW menjelang 2027, iaitu 23% daripada jumlah kapasiti penjanaan elektrik negeri,” katanya. - DagangNews.com








