KUALA LUMPUR 30 Jan – Pacific & Orient Berhad melaporkan kerugian bersih RM30.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, susut 60.8% berbanding kerugian bersih RM78.0 juta pada FY24.
Keputusan positif ini sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan hasil daripada pemulihan perniagaan insurans dan pengurangan dalam tuntutan insurans diperoleh semula bagi anak syarikat.
Bagaimanapun kumpulan tersebut mencatatkan perolehan hanya sebanyak RM295.9 juta bagi tahun tersebut, jatuh sedikit berbanding kira-kira RM298.4 juta yang dicatatkan sebelumnya pada 2024.
"Daripada jumlah kerugian bersih tersebut, sebanyak RM18.97 juta adalah terbahagi kepada pemegang ekuiti syarikat," jelas Pacific & Oriental dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Prestasi keseluruhan namun menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila kerugian sebelum cukai (LBT)kumpulan itu menyusut kepada RM34.3 juta berbanding kerugian RM78.2 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut kumpulan berkenaan, penambahbaikan dalam angka LBT ini didorong oleh faktor pergerakan positif daripada aktiviti keuntungan pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan.
Selain itu jelas Pacific & Orient, ketiadaan kerugian kemerosotan nilai ke atas pelaburan dalam syarikat sekutu bagi tahun dikaji, turut membantu syarikat insurans berkenaan sepanjang FY25.
"Sekiranya dilihat prestasi di peringkat segmen perniagaan, anak syarikat insurans amnya, iaitu Pacific & Orient Insurance Co Berhad, masih mencatatkan LBT sebanyak RM29.6 juta," katanya.
Keadaan berkenaan kata kumpulan tersebut, akibat keuntungan direalisasi yang didapati adalah lebih rendah daripada kegiatan pelupusan pelbagai sekuriti pelaburan dilakukan pada tahun kewangan itu.
Sebaliknya, segmen teknologi maklumat (IT) menunjukkan prestasi baik dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.9 juta, berbanding LBT yang amat besar kira-kira RM80.2 juta pada 2024.
Peningkatan yang memberangsangkan ini jelas Pacific & Orient, disumbangkan oleh keuntungan pertukaran asing dan pengurangan kerugian kemerosotan nilai yang dicatatkan sepanjang tahun.
"Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, Lembaga Pengarah syarikat ini tidak berhasrat mencadangkan sebarang pembayaran dividen akhir kepada semua pemegang saham," kata kumpulan itu.
Melangkah ke hadapan, ia menyatakan komitmen terus meningkatkan daya saing melalui pengurusan kos berhemat, penaja jaminan berdisiplin serta tumpuan kepada nilai pelanggan. - DagangNews.com








