RTS Technology adakan EGM cadang beli 100% ekuiti Work at Cloud bernilai RM18 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RTS Technology adakan EGM cadang beli 100% ekuiti Work at Cloud bernilai RM18 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan - RTS Technology Holdings Berhad bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham berhubung pengambilalihan Work at Cloud Sdn Bhd.


Kumpulan tersebut dalam maklumat kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan berkenaan melibatkan pembelian sejumlah 3,460,000 saham biasa atau 100% ekuiti dalam syarikat itu pada nilai RM18 juta.


Menurut notis mesyuarat khas itu, pertimbangan pembelian kepentingan tersebut akan diselesaikan melalui usaha penerbitan sebanyak 136,363,636 saham biasa baharu pada harga terbitan 13 sen sesaham.


"Saham pertimbangan ini akan diterbitkan kepada tiga vendor selaku penjual yang terlibat iaitu Exceez Technologies Sdn Bhd, Pama Solutions Sdn Bhd, dan Worldory Sdn Bhd," kata RTS Technology.


Saham baharu itu akan mempunyai kedudukan setaraf dalam semua aspek dengan saham sedia ada, namun tidak berhak mendapatkan dividen atau pengagihan yang diisytiharkan sebelum tarikh peruntukan.


Selain pengambilalihan tersebut, kumpulan berkenaan mencadangkan EGM itu memperoleh kelulusan pemegang saham untuk resolusi kedua membabitkan kepelbagaian skop aktiviti perniagaan syarikat.


Langkah perluasan itu kata RTS Technology, merangkumi bidang konsultasi komputer, jualan runcit sebarang produk melalui internet, serta keselamatan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 


"Lembaga Pengarah kumpulan ini juga memohon mandat untuk melaksanakan semua tindakan yang perlu bagi melengkapkan cadangan pengambilalihan dan kepelbagaian perniagaan tersebut," jelasnya lagi. 


Usul berkenaan antaranya termasuk memohon pemegang saham menyokong usaha bagi mengetepikan hak berkanun sebelum pembelian mereka ke atas saham baharu yang akan diterbitkan kumpulan itu.


EGM tersebut dijadualkan pada 24 Februari 2026, di Big Idea Space, INNSiDE by Meliá Kuala Lumpur, dengan hanya pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 12 Februari 2026 layak hadir.


Mereka bagaimanapun boleh melantik proksi untuk mengundi bagi pihak mereka jika tidak dapat datang ke mesyuarat berkenaan, dengan borang wakil itu perlu diserahkan paling lewat pada 22 Februari 2026.


RTS Technology ditubuhkan pada 2019 sebagai syarikat pegangan pelaburan dengan subsidiari iaitu RTS Tech Services Sdn Bhd, Centracts Technology Sdn Bhd dan RTS Technology Sdn Bhd. - DagangNews.com