KUALA LUMPUR 13 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghentikan perkhidmatan penyiaran saluran televisyennya di platform satelit Astro Malaysia Holdings Berhad bermula 1 Julai selepas hampir 30 tahun kerjasama.
Dalam satu surat pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM berkata kedua-dua pihak kini berdepan kesukaran untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing.
“Selepas bertahun-tahun kerjasama dan rundingan berterusan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan ini, adalah sukar pada masa ini untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan kedua-dua pihak.
“Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM iaitu TV1-HD, TV2-HD dan Okey di platform satelit ASTRO serta platform over-the-top (OTT) yang dikendalikan pihak tuan. Penamatan ini akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026,” katanya lapor NST Online.
RTM telah bekerjasama dengan Astro dalam penyiaran saluran TV1 dan TV2 sejak 1996, manakala saluran Okey yang sebelum ini dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi pula sejak 2009.
RTM berkata kerjasama dengan Astro turut melibatkan beberapa penerbitan usaha sama dan memberi impak positif kepada penonton kedua-dua pihak.
“Apabila kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM untuk menyewa saluran ini menjadi semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini supaya tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal,” katanya. - DagangNews.com








