KUALA LUMPUR 25 Nov - Sejak kadar duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) dinaikkan kepada 90 sen seliter, kerajaan telah mengutip RM73.81 juta cukai tersebut bagi tempoh Januari hingga November 2025, menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian itu berkata, duti SSB mula dikenakan pada 1 Julai 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan ambang kandungan gula yang ditetapkan.
Kadar itu kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter bermula 1 Jan 2024, dan sekali lagi dinaikkan kepada 90 sen seliter bermula 1 Jan 2025.
Menurut kementerian, kenaikan kadar tersebut merupakan antara langkah bagi mengekang pengambilan minuman tinggi gula dalam kalangan rakyat serta menyokong kempen Perang Gula oleh Kementerian Kesihatan.
Bagi tempoh 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2024, kutipan duti SSB berjumlah RM447.54 juta. Dengan tambahan kutipan RM73.81 juta bagi Januari hingga November tahun ini, jumlah keseluruhan kutipan kini mencecah RM521.35 juta.
Semua kutipan telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, di bawah Belanjawan 2025, sebahagian hasil tambahan daripada kenaikan duti tersebut telah diperuntukkan kepada inisiatif kesihatan awam Kementerian Kesihatan, khususnya pembekalan ubat SGLT-2 untuk pesakit diabetes serta perluasan rawatan dialisis peritoneal bagi penyakit buah pinggang peringkat akhir.
“Bagi tahun 2025, kerajaan menyalurkan RM25 juta daripada kutipan duti eksais SSB kepada Kementerian Kesihatan bagi membiayai program advokasi Perang Gula, pembelian ubat SGLT-2 untuk pesakit Diabetes Mellitus dan penyediaan kemudahan dialisis peritoneal kepada pesakit buah pinggang peringkat akhir,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis hari ini.
MOF menjawab pertanyaan Suhaizan Kayat (PH–Pulai) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kutipan cukai minuman bergula dan sejauh mana dana tersebut digunakan bagi menampung kos ubat diabetes serta menyokong Program Dialisis Peritoneal. - DagangNews.com








