KUALA LUMPUR 24 Julai – Data terkini menunjukkan lebih 8.5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah berdaftar, dengan sejumlah RM4 bilion bantuan tunai telah disalurkan melalui bayaran Fasa 1 dan Fasa 2 inisiatif tersebut, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF memaklumkan, dua lagi fasa pembayaran STR dijadualkan pada bulan Ogos dan November tahun ini.
“Kerajaan telah meningkatkan peruntukan bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada paras tertinggi iaitu RM13 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini.
“Kenaikan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima, bersamaan 60% daripada populasi dewasa di Malaysia,” menurut kenyataan bertulis kementerian yang disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu.
Kenyataan itu adalah sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung jumlah peruntukan kewangan yang telah disalurkan bagi program SARA sepanjang tahun 2024.
Mengenai program SARA, MOF menjelaskan bahawa sehingga 14 Julai 2025, lebih 4.9 juta penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis runcit yang mengambil bahagian.
Kadar penggunaan tersebut mencerminkan kadar penggunaan keseluruhan sebanyak 92% pada bulan keempat penyaluran kredit.
“Seramai 5.4 juta penerima telah berdaftar, dengan jumlah kelayakan tahunan SARA mencecah RM5 bilion.
“Jumlah penerima SARA turut meningkat secara mendadak daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April 2025,” jelas kenyataan itu.
MOF turut menegaskan, kerajaan komited dan terus memantau situasi semasa bagi memastikan pelaksanaan program bantuan tunai berjalan dengan lancar serta menyasarkan golongan yang benar-benar memerlukan, dalam menghadapi cabaran kos sara hidup. - DagangNews.com








