KUALA LUMPUR 14 Okt – Sebanyak RM3.6 bilion dilaporkan hilang membabitkan lebih 52,000 kes jenayah komersial sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan mengejutkan sebanyak 81.6% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Perangkaan ini bukanlah satu kebanggaan, sebaliknya ia menunjukkan kepercayaan yang dikhianati, impian dan kehidupan yang lebur angkara penipuan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Bukit Aman hari ini.

Mohd Khalid berkata jenayah penipuan dalam talian seperti scam cinta dan skim pelaburan palsu menyumbang 80% daripada keseluruhan kes jenayah komersial.
“Statistik dari Januari sehingga September 2025 menunjukkan terdapat 47,850 kes penipuan dalam talian dilaporkan, mengakibatkan kerugian lebih RM2 bilion meningkat sebanyak 93.8% berbanding tahun lalu.
“Modus operandi scammer adalah mengeksploitasi emosi dan harapan mangsa, memperdayakan mereka untuk memindahkan wang sebelum menyedari mereka telah ditipu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan memandang serius trend penipuan yang semakin meningkat dan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), mengetuai inisiatif di bawah Pusat Respons Scam Nasional (NSRC).
“NSRC menyatukan kepakaran pelbagai agensi termasuk polis, Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
NSRC, yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sejak 7 Julai, berperanan sebagai barisan hadapan dalam membantu mangsa termasuk membekukan dan mengesan dana yang dicuri dengan segera.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 hingga 30 September 2025, pusat itu telah menerima lebih 266,000 panggilan.
“Sebanyak 160,000 panggilan dikenal pasti sebagai kes sebenar yang memerlukan tindakan susulan untuk menjejak dan menyekat dana dicuri, manakala 115,000 lagi merupakan pertanyaan umum, termasuk permintaan untuk nasihat pencegahan atau maklumat tentang kes lampau," katanya.
Tambahnya, JSJK juga telah menahan hampir 21,000 suspek berkaitan pelbagai jenayah komersial sepanjang tahun ini.
Selain itu, beliau menambah, lebih 14,000 program pencegahan seperti pameran, ceramah dan kerjasama strategik media telah dijalankan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman scam.
“Saya berharap operasi yang sedang dijalankan ini akan memperkukuh langkah pencegahan dan memberikan hasil yang lebih konsisten dalam usaha membanteras jenayah komersial,” katanya.
Beliau menegaskan, JSJK akan terus mengukuhkan kerjasama antara agensi, institusi kewangan dan pihak akademik untuk memerangi jenayah komersial secara menyeluruh dan mampan. - DagangNews.com








