RM30 juta CSR, RM2.5 juta zakat: VFive Group fokus jadikan Tanggungjawab Sosial Teras korporat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM30 juta CSR, RM2.5 juta zakat: VFive Group fokus jadikan Tanggungjawab Sosial Teras korporat

Datuk Mohd Syafiq Abdullah (kanan) menyampaikan cek replika pembayaran zakat RM2.5 juta kepada Datuk Abdul Hakim Amir Osman disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil di Kuala Lumpur pada 16 Jan 2026.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Jan - VFive Group Sdn. Bhd. meneruskan komitmen strategiknya terhadap agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi peruntukkan sekitar RM30 juta sepanjang tahun 2025 bagi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi merangkumi kebajikan, pembangunan komuniti serta sokongan pendidikan, selari dengan aspirasi syarikat sebagai entiti Bumiputera yang bertanggungjawab dan berteraskan nilai Islam.

 

Pelaksanaan agenda CSR tersebut dilaksanakan secara berstruktur melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan ummah.

 

Antaranya termasuk penyediaan 750 pek makanan iftar harian, sumbangan baju raya percuma kepada anak-anak yatim, program singgah sahur, tajaan menunaikan umrah pada bulan Ramadan, edaran kampit beras secara bulanan, serta pelbagai bentuk sokongan berterusan kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan institusi pendidikan.

 

Komitmen kebajikan VFive Group turut diperluas ke peringkat antarabangsa melalui penyaluran bantuan kepada masyarakat Islam di luar negara, termasuk pelaksanaan inisiatif kebajikan di Masjidil Haram, Madinah serta beberapa wilayah di Indonesia, sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni ummah secara menyeluruh dan merentas sempadan.

 

VFive Group berpandangan, sinergi antara kejayaan korporat dan kesejahteraan masyarakat merupakan asas penting kepada pertumbuhan yang lestari dan berdaya tahan.

 

Sehubungan itu, pengurusan VFive Group bersama Yayasan VFive sentiasa mengalu-alukan cadangan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak agar lebih ramai komuniti dapat dibantu dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

 

Seiring dengan pendekatan tersebut, VFive Group Sdn. Bhd. turut menunaikan kewajipan dengan menyalurkan zakat perniagaan berjumlah RM2.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), sebagai manifestasi komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh agenda tanggungjawab sosial korporat serta menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf, khususnya di Lembah Klang.

 

Penyerahan simbolik sumbangan zakat berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, yang turut diiringi oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil.

 

Majlis tersebut berlangsung bersempena Sambutan Israk Mikraj 1447H yang dianjurkan oleh VFive Group pada Jumaat, sekali gus menyatukan penghayatan kerohanian dengan pelaksanaan tanggungjawab korporat.


 

VFive

 

VFive

 

VFive

 


Pemilihan Sambutan Israk Mikraj sebagai latar membawa makna tersendiri, selari dengan prinsip ketaatan dan amanah yang menjadi asas kepada pelaksanaan zakat perniagaan, di samping melambangkan pendekatan VFive Group dalam menyelaraskan nilai kerohanian dengan tadbir urus serta amalan korporat.

 

Dalam ucapannya, Mohd Syafiq berkata, penyerahan zakat tersebut merupakan wadah yang mencerminkan nilai empati, ihsan dan amanah yang menjadi teras falsafah perniagaan VFive Group.

 

Menurut beliau, sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan VFive Group sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab dan cakna terhadap kebajikan masyarakat melalui pendekatan berkongsi kemakmuran, di mana manfaat keuntungan yang diperoleh dikembalikan semula kepada masyarakat menerusi saluran zakat yang telus.

 

Beliau turut menegaskan, zakat berperanan sebagai instrumen strategik dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam, khususnya dalam membantu golongan yang terkesan akibat tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

 

Tambahnya, VFive Group melihat zakat bukan sekadar tuntutan fardu, tetapi sebagai satu mekanisme pembangunan ummah yang mampan, selari dengan prinsip tadbir urus beretika dan nilai Islam yang menjadi tunjang organisasi. - DagangNews.com