Risiko kelewatan projek dikhuatiri jejaskan prestasi Kerjaya Prospek, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko kelewatan projek dikhuatiri jejaskan prestasi Kerjaya Prospek, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jan — Risiko projek lewat siap daripada jadual ditetapkan dikenal pasti kekal menjadi antara isu kritikal yang berpotensi menjejaskan prestasi Kerjaya Prospek Group Berhad.


Selain itu, menurut Phillip Capital, masalah ketidaktentuan pasaran hartanah tempatan dan tekanan akibat kos bahan mentah yang tinggi turut dikhuatiri mengganggu perolehan kumpulan tersebut.


Bagaimanapun secara keseluruhan, firma penyelidikan tersebut masih melihat prospek pendapatan yang lebih cerah bagi syarikat pembinaan berkenaan, susulan pelbagai tender diperoleh baru-baru ini.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Kerjaya Prospek dengan harga sasaran (TP) sesaham dinaikkan kepada RM3.22 daripada hanya RM2.70," katanya dalam satu nota kajian hari ini.


Perubahan tersebut jelas Phillip Capital, selepas menyemak naik unjuran pendapatan 2025 hingga 2027 sebanyak 3% hingga 8%, serta disokong buku tempahan terkumpul kukuh berjumlah RM4.4 bilion.


Keadaan berkenaan tambah firma tersebut, memberikan liputan hasil sekitar 2.4 kali pendapatan FY24, sekali gus meningkatkan keterlihatan dalam pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan 2028.


Momentum penambahan tender juga adalah kekal sihat dengan perolehan kontrak baharu sebanyak RM1.8 bilion pada 2025, yang turut melepasi sasaran dalaman dan jangkaan awal firma berkenaan sendiri.


"Kami turut meramalkan potensi pemangkin untuk jangka terdekat menerusi penganugerahan pelbagai kontrak projek pusat data (DC) daripada usaha sama dengan Samsung C&T," jelas Phillip Capital.


Situasi ini katanya, berpotensi menambah sekitar RM1 bilion kepada buku tempahan yang sedia ada, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan Kerjaya Prospek bagi tempoh 2026 hingga 2028.


Dalam segmen hartanah pula, pengiktirafan hasil dijangka bertambah baik apabila projek The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara menghampiri fasa penyerahan pada separuh pertama tahun ini.


Phillip Capital juga menegaskan yang pendedahan strategik syarikat itu kepada pembangunan berskala besar seperti Andaman Island dan Aspen Vision City menyediakan asas pertumbuhan berbilang tahun.


"Dari sudut kewangan, Kerjaya Prospek dalam kedudukan kukuh dengan tunai bersih RM286.7 juta, yang membolehkannya meneruskan pembangunan baharu tanpa menjejaskan struktur kewangan," kata firma itu.


Ia namun mengulangi kebimbangan risiko utama termasuk kenaikan kos bahan mentah yang lebih tinggi daripada jangkaan, kelewatan pelaksanaan projek, dan kadar penggantian buku tempahan perlahan.


Masalah kelembapan pasaran hartanah yang mengakibatkan permintaan pembelian aset bangunan kediaman baharu juga dikenal pasti boleh menjejaskan aliran kerja masa hadapan. - DagangNews.com