Ringgit terus lemah meskipun data ekonomi domestik tunjuk ketahanan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit terus lemah meskipun data ekonomi domestik tunjuk ketahanan - MBSB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 21 Okt – Ringgit terus mencatatkan prestasi lemah apabila ditutup lebih rendah minggu lalu, menyusut sebanyak -0.1% secara minggu ke minggu (w-o-w) kepada RM4.227 berbanding dolar Amerika Syarikat, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sepanjang minggu lalu, mata wang tempatan diniagakan dalam julat sempit antara RM4.22 hingga RM4.23, menunjukkan pergerakan yang terbatas meskipun data ekonomi domestik mencatatkan prestasi memberangsangkan.

 

Pergerakan kadar pertukaran ringgit kebanyakannya dipengaruhi oleh kekuatan dolar AS, berikutan data ekonomi AS yang kekal kukuh. 

 

"Ini berlaku walaupun data domestik menunjukkan ketahanan ekonomi Malaysia menerusi prestasi perdagangan yang lebih tinggi pada September 2025 serta pertumbuhan KDNK suku ketiga 2025 yang melebihi jangkaan, seperti yang ditunjukkan oleh anggaran awal," katanya dalam analisis mingguan pasaran mata wang hari ini.

 

Menurut MBSB, mata wang tempatan juga mencatatkan penyusutan berbanding mata wang utama rakan dagangan, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan Indeks Ringgit Terimbang Timbang Dagangan MBSB sebanyak -0.2%w-o-w kepada 94.53.

 

Penyusutan ini dicatatkan terutamanya berbanding euro (-2.2%w-o-w), yen Jepun (-1.4%w-o-w) dan rupee India (-0.96%w-o-w).

 

Sementara itu, MBSB berkata, jumlah perdagangan Malaysia melonjak sebanyak +9.8% tahun ke tahun (y-o-y) pada September 2025 (Ogos 2025: -2.0%y-o-y), menandakan pemulihan kukuh daripada kemerosotan bulan sebelumnya serta mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2025.

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh lonjakan eksport sebanyak +12.2%y-o-y (Ogos 2025: +1.7%y-o-y) dan pemulihan dalam import yang meningkat sebanyak +7.3%y-o-y (Ogos 2025: -5.9%y-o-y).

 

Menurut MBSB, berdasarkan l anggaran awal, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga tahun kalender 2025 (3QCY25) meningkat kepada +5.2%y-o-y berbanding +4.4%y-o-y pada suku sebelumnya.

 

Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi kukuh sektor perkhidmatan yang kekal stabil pada +5.1%y-o-y (2QCY25: +5.1%y-o-y), pengeluaran pembuatan yang lebih tinggi (+4.0%y-o-y; 2QCY25: +3.7%y-o-y), serta pemulihan ketara dalam sektor perlombongan dan kuari yang mencatatkan lonjakan +10.9%y-o-y (2QCY25: -5.2%y-o-y).  - DagangNews.com