Ringgit kukuh buka peluang beli hartanah Australia, namun perlu waspada isu cukai - Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit kukuh buka peluang beli hartanah Australia, namun perlu waspada isu cukai - Knight Frank

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Pengukuhan ringgit ke paras RM2.75 berbanding dolar Australia ketika ini dilihat membuka peluang menarik kepada pelabur Malaysia untuk memasuki pasaran hartanah Australia.


Bagaimanapun, menurut Knight Frank Malaysia, persekitaran cukai dan kawal selia yang semakin ketat di negara berkenaan menuntut langkah penelitian secara lebih rapi sebelum dapat membuat keputusan.


Tambahnya, trend kenaikan ringgit daripada paras RM3.18 pada Julai 2024 memberi kelebihan ketara khususnya kepada pembeli yang menggunakan skim pembiayaan dalam denominasi mata wang tersebut.


Pengarah Bersekutu, Hartanah Australia Knight Frank Pulau Pinang, Jenny Neoh Channing berkata, pembeli berasaskan ringgit kini memerlukan modal yang lebih rendah berbanding lima tahun lalu.


“Perbezaan kadar tukaran ini boleh menyamai beberapa tahun hasil sewaan serta mengurangkan risiko turun naik mata wang bagi pinjaman hartanah baharu dan tanah kosong,” katanya dalam kenyataan.


Firma penyelidikan berkenaan jelas beliau, turut menjangkakan yang nilai ringgit berkeupayaan mengekalkan trajektori pengukuhan berbanding mata wang utama lain sehingga akhir tahun ini.


Berdasarkan laporan terkini Daftar Pemilikan Asing Aset Australia oleh Australian Tax Office, Malaysia merupakan sumber kesembilan terbesar pelaburan asing ke dalam tanah kediaman Australia.


Neoh menambah, jumlahnya mencecah A$111.6 juta (RM308.5 juta) bagi tempoh Julai 2023 hingga Jun 2024, dan minat berterusan rakyat Malaysia didorong faktor hubungan rapat antara kedua-dua negara.

 

Knight Frank
JENNY NEOH CHANNING



"Di samping itu, ia disokong isu migrasi, kerana berdasarkan banci terbaharu Australian Bureau of Statistics merekodkan 165,616 penduduk kelahiran Malaysia di Australia setakat 2021," tambahnya.


Antara Januari hingga September 2025 katanya, Australia merekodkan 415,760 ketibaan penduduk tetap dan jangka panjang, tertinggi dalam sejarah, mencerminkan keyakinan ke atas ekonomi negara itu.


Australia juga kekal sebagai destinasi utama pelajar Malaysia dengan lebih 13,000 penuntut yang berdaftar sepanjang tahun lepas, selaras sasaran peningkatan 9% pelajar antarabangsa pada 2026.


Knight Frank tambah Neoh, menilai pelaburan asing ke dalam kediaman baharu tertumpu di tiga negeri iaitu Victoria, New South Wales dan Queensland, terutama bandar besar seperti Melbourne dan Sydney.


"Segmen bina-untuk-sewa (BTR) kini semakin matang sebagai kelas aset, dengan 4,660 unit disiapkan pada 2024, diikuti anggaran 6,000 unit pada 2025 dan 4,000 unit lagi pada 2026," jelas beliau.


Tambahnya, permintaan secara kukuh terhadap penyewaan jangka panjang di negara berkenaan serta kekurangan struktur bekalan perumahan dijangka terus menyokong prestasi dalam segmen tersebut.


Pelabur asing namun perlu mengambil kira larangan sementara pembelian rumah sedia ada oleh warga asing sehingga 2027, selain pemantauan lebih ketat oleh Foreign Investment Review Board (FIRB).


Kos tambahan lain kata Neoh, termasuk pengenaan duti setem lebih tinggi, pelaksanaan cukai pegangan 15% bagi bukan pemastautin serta cukai tanah tahunan dan surcaj kepada pemilik tidak menetap.


“Walaupun ada perubahan dasar, pelabur Malaysia boleh memanfaatkan kestabilan ekonomi dan politik Australia, pertumbuhan populasi serta kadar kekosongan rendah dan permintaan sewaan,” jelasnya.


Secara keseluruhan, Knight Frank berpandangan pengukuhan ringgit dan asas makroekonomi Australia yang stabil mewujudkan kemasukan menarik, namun bergantung kepada strategi pembelian. - DagangNews.com