KUALA LUMPUR 4 Feb - MIDF Research menjangkakan nilai ringgit mengukuh kepada RM4.23 berbanding dengan sedolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, ringgit diramal meneruskan aliran pengukuhan berbanding dolar AS walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
Katanya, penilaian ringgit bergantung kepada pergerakan dalam trajektori dasar monetari AS.
"Walaupun pelonggaran dasar monetari AS akan lebih perlahan daripada jangkaan sebelum ini, perbezaan faedah antara Rizab Persekutuan (Fed) dan pasaran mata wang baru muncul dijangka menjadi lebih kecil.
"Asas pertumbuhan Malaysia juga kekal menyokong nilai ringgit memandangkan lebihan berterusan dari segi imbangan perdagangan dan akaun semasa," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Ringgit meningkat sedikit berbanding dollar AS, sebanyak 0.3% bulan ke bulan dan mengakhiri bulan Januari 2025 pada RM4.458 (sebelumnya: RM4.472), iaitu paras paling kukuh.
"Prestasi dolar pada bulan lepas sebahagian besarnya didorong oleh peralihan dalam jangkaan pasaran berhubung trajektori dasar monetari AS, ditambah lagi dengan ketidaktentuan dasar yang menyelubungi kerajaan AS.
“Walaupun kami kekal optimis mengenai asas dan prospek ekonomi Malaysia, kelemahan ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan pembalikan aliran modal daripada pasaran baru muncul ke AS.
"Pembalikan aliran masuk modal ini didorong oleh tempoh perbezaan kadar faedah yang lebih lama daripada jangkaan," katanya.
Memandangkan kadar pengurangan lebih perlahan, MIDF meramalkan Fed tidak akan melonggarkan dasar monetarinya secara agresif pada 2025.
Bagaimanapun, mereka tetap berhati-hati terhadap potensi inflasi yang mungkin didorong oleh kekuatan ekonomi dan pasaran pekerjaan yang berterusan.
Sementara menunggu kejelasan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengenai tarif, MIDF menjangkakan kemungkinan peningkatan inflasi yang lebih tinggi di AS.
Potensi kenaikan inflasi ini boleh mengubah jangkaan pasaran mengenai laluan masa depan kadar dana persekutuan, walaubagaimanapun, MIDF mengekalkan pendapatnya mengenai pemotongan kadar 25 mata asas (bps) tunggal pada separuh kedua 2025 (2H 2025).
“Kami menjangkakan penyempitan perbezaan kadar faedah pada tahun ini, dengan Fed meneruskan pelonggaran dasarnya pada 2H 2025 menyebabkan aliran modal beralih kembali kepada pasaran mata wang yang sedang membangun pesat termasuk ringgit,” katanya. - DagangNews.com








