KUALA LUMPUR 26 Dis - Ringgit meneruskan pengukuhan pada Jumaat apabila dibuka lebih tinggi untuk mencapai satu lagi paras tertinggi lima tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam minggu dagangan yang dipendekkan oleh cuti.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan melonjak kepada 4.0410/0495 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0515 pada penutupan Rabu. Ringgit sebelum ini mencatat paras 4.0450/0443 pada 26 Februari 2021.
Pasaran ditutup semalam sempena cuti Hari Krismas.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mengambil kira minggu dagangan yang singkat, pasaran mata wang dijangka kekal agak mendatar hari ini.
Beliau berkata pelabur terus bersikap positif terhadap ringgit, dengan pasangan dolar AS-ringgit berada pada paras terkuat dalam tempoh lima tahun.
“Kebiasaannya, mungkin berlaku aktiviti pengambilan untung, terutama apabila pasaran telah mengambil kira semua berita positif.
“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit terus diniagakan dalam julat sempit RM4.04 hingga RM4.05 hari ini,” katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5874/5930 daripada 2.5940/5999 pada penutupan Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4578/4693 daripada 5.4647/4768, serta mengukuh berbanding euro kepada 4.7615/7715 daripada 4.7697/7804 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding rakan serantau ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1460/1531 daripada 3.1506/1578 pada Rabu, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9990/13.0352 daripada 13.0486/0705 sebelum ini, serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.86/6.89 daripada 6.88/6.90.
Bagaimanapun, ringgit sedikit lemah berbanding rupiah Indonesia pada 241.3/242.0 berbanding 241.0/241.8 sebelum ini. — Bernama








