KUALA LUMPUR 5 Mac — Penglibatan agresif dalam pembinaan pusat data (DC) dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama Binastra Corporation Berhad, menurut RHB Research dalam analisisnya.
Firma penyelidikan tersebut menambah, keyakinan berkenaan susulan kumpulan itu sudah memperoleh enam kontrak berkaitan segmen DC dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.9 bilion setakat ini.
Jelasnya, kontrak DC tersebut dianggarkan menyumbang sekitar 10% hingga sebanyak 15% daripada buku tempahan terkumpul syarikat berkenaan yang ketika ini dianggarkan mencecah kira-kira RM7 bilion.
"Walaupun penglibatan Binastra masih kecil berbanding beberapa kontraktor tersenarai lain, langkah kumpulan meneroka segmen itu menunjukkan kesediaan untuk mempelbagaikan hasil," kata RHB Research.
Situasi itu jelasnya, berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak projek baharu pada masa hadapan dan tidak hanya terhad bergantung sumber pendapatannya daripada pembangunan hartanah kediaman.
Perkembangan positif tersebut menurut firma berkenaan, sudah dapat dilihat melalui penganugerahan pelbagai projek lain termasuk loji rawatan kumbahan dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
Kata RHB Research, projek di Cyberjaya yang diterima Binastra daripada MYT DC3 bagi pihak AIMS Group bernilai kira-kira RM250 juta, merupakan pakej DC keempat yang diperoleh oleh kumpulan itu.

"Projek berkapasiti 10.5 megawatt (MW) dijangka siap secara berperingkat dan pemerhatian kami pada Disember 2025 mendapati kemajuan projek tersebut berada di landasan yang tepat," tambahnya lagi.
Pada November 2025, Binastra meraih kontrak tambahan bernilai RM188.5 juta daripada MYT DC3 bagi kerja mekanikal dan elektrik (M&E) untuk DC yang sama dengan tempoh siap dalam masa empat bulan.
RHB Research berkata, semasa lawatan tapak pada Jun 2025, kemajuan projek tersebut berada sekitar 25% hingga 30%, yang disifatkan baik memandangkan kontrak hanya diserah pada Februari tahun sama.
Dalam tempoh kira-kira empat bulan, Binastra jelas firma penyelidikan tersebut sudah pun berjaya menyiapkan tiga tingkat daripada keseluruhan struktur bangunan DC setinggi enam tingkat itu.
"Penggunaan teknologi 'bubbledeck' dalam pembinaan struktur turut mengurangkan penggunaan konkrit selain mempercepatkan pemasangan kerana memerlukan acuan yang lebih rendah," katanya.
Pegangan 51% dalam LF Lansen memberi kelebihan dari segi kepakaran dalam sistem simpanan tenaga terma serta peralatan penyejukan termasuk sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC).
Justeru, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatan Binastra tanpa sebarang perubahan serta mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM2.72 sesaham.
Firma itu berkata sahamnya kini diniagakan sekitar 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, dan masih lebih rendah berbanding penilaian 16 kali oleh indeks pembinaan Bursa Malaysia.
"Bagaimanapun, kami mendapati antara risiko penurunan utama ialah sekiranya trend penambahan kontrak baharu menjadi perlahan dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com








