RHB Research: Permintaan tinggi infrastruktur tenaga hijau tingkatkan peluang perniagaan Powerwell | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Permintaan tinggi infrastruktur tenaga hijau tingkatkan peluang perniagaan Powerwell

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Mei – Gelombang pelaburan dan pembangunan agresif infrastruktur tenaga hijau di Malaysia kini dijangka membuka peluang perniagaan besar kepada Powerwell Holdings Berhad.


Menurut RHB Research, potensi yang luas itu khususnya dalam sektor pengagihan tenaga dan sistem elektrik, terutama dalam pelbagai kontrak pembinaan banyak pusat data (DC) baharu di negara ini.


Malah, peningkatan pesat projek DC dan perluasan rangkaian loksi pengecas kenderaan elektrik (EV) dijangka melonjakkan permintaan mekanikal serta elektrikal (M&E) dalam beberapa tahun akan datang.


"Powerwell berada pada kedudukan strategik memanfaatkan pertumbuhan itu memandangkan ia memiliki kepakaran menyeluruh dalam pengagihan elektrik termasuk papan suis voltan rendah (LV)," ujarnya. 


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut baru-baru ini memperoleh tender berkaitan DC bernilai RM68.5 juta daripada pelanggan multinasional, yang meningkatkan nilai buku tempahan.


Permintaan sektor DC kata RHB Research, terus berkembang pesat susulan pembangunan 8GW dalam tempoh lima tahun yang berpotensi mewujudkan pasaran melebihi RM120 bilion untuk industri M&E.


Sehubungan itu jelasnya, buku tender Powerwell turut meningkat lebih 30% tahun ke tahun (YoY) kepada RM395 juta dengan sebahagian besar datang daripada peluang berkaitan projek DC sendiri.


"Pada masa sama, syarikat berkenaan dilihat giat memperkukuhkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi semasa sejak kemasukan pasukan pengurusan baharu kira-kira 17 bulan lalu," tambahnya.

 

Powerwell_DagangNews


Kumpulan itu tambah RHB Research, meningkatkan kapasiti pengeluaran 17%, selain pengambilalihan terbaharu dijangka menambah lagi 35% kapasiti selain memperluaskan kehadiran ke Sabah dan Sarawak.


Katanya, beberapa inisiatif transformasi operasi Powerwell, termasuk penggunaan proses berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan metodologi 5S bagi meningkatkan produktiviti serta margin keuntungan.


Di samping itu jelas firma berkenaan, pengambilalihan Tenaga Kenari dan Firerex pula dijangka memberi sinergi segera menerusi peluang jualan silang dan penawaran rumusan secara bersepadu.


"Kedua-dua syarikat tersebut membawa kepakaran tambahan dalam operasi kawalan M&E termasuk sistem pengurusan bangunan (BMS), dan pelbagai sistem pemadaman kebakaran khusus," kata RHB Research.


Bagi tahun kewangan 2025, Powerwell mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 30.9% kepada RM117.6 juta, dan mendorong keuntungan bersih mencecah RM16.4 juta, meningkat 42.3% tahun ke tahun (YoY).


Selain itu, syarikat berkenaan juga ujar firma penyelidikan tersebut, berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM50 juta dengan aliran tunai operasi yang sihat sekitar RM10 juta setakat ini.


Berdasarkan perkembangan positif tersebut, RHB Research menambah, kumpulan berkenaan mempunyai prospek pertumbuhan menarik susulan ledakan DC dan strategi pengembangan agresif syarikat itu.


"Kami meletakkan nilai saksama Powerwell pada julat antara 83 sen hingga RM1.03 sesaham, yang berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) unjuran FY27 daripada sebanyak 16 hingga 20 kali.


Bagaimanapun, antara risiko utama perlu diperhatikan termasuk kelembapan ekonomi, ketidaktentuan politik, turun naik mata wang asing dan kegagalan memperbaharui lesen operasi di Malaysia. - DagangNews.com