KUALA LUMPUR 5 Feb – Kebimbangan pasaran terhadap lambakan bekalan kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru diyakini tidak akan menjejaskan permintaan sebenar ke atas UOA Development Berhad.
Sebaliknya, menurut RHB Research, projek sulung kumpulan pemaju tersebut di bandar raya berkenaan, Aethera Residences, masih berupaya mencatat sambutan memberangsangkan sejak fasa awal pelancaran.
Menurut firma penyelidikan itu, situasi positif tersebut didorong faktor kedudukan lokasinya yang strategik berhampiran dengan tapak projek rel ikonik, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura.
"Sehubungan itu, kami optimis mengekalkan saranan 'beli' ke atas UOA Development dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM2.10 daripada RM2.08," katanya dalam nota kajian hari ini.
RHB Research menambah, peningkatan saham kumpulan tersebut mewakili potensi pertambahan kira-kira 11%, selain pulangan dividen diunjur sekitar 7% bagi FY26, yang disifatkan baik kepada pelabur.
Katanya, hampir kesemua unit bukan bumiputera bagi Aethera ditempah semasa sesi pratonton, dipacu oleh harga bersih yang kompetitif selepas pemberian rebat sebanyak 25% untuk para pembeli awal.
Jelas firma penyelidikan tersebut, dengan rebat berkenaan, harga purata jualan (ASP) dianggarkan sekitar RM1,100 per kaki persegi, lebih rendah berbanding projek utama lain berhampiran RTS Link.
"Kami berpandangan kejayaan jualan ini disokong beberapa faktor utama, termasuk lokasi berhampiran stesen dengan laluan pejalan kaki berbumbung, dan struktur bayaran pendahuluan rendah," katanya.
Kekuatan jenama UOA Development sendiri, turut membantunya selain projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta itu dijangka mampu menyumbang kepada pendapatan kumpulan bermula FY27.
Di Lembah Klang pula jelas RHB Research, projek Bamboo Hills juga mencatat prestasi jualan yang amat kukuh dari tempoh 2Q25 hingga 3Q25, dengan kebanyakan unit bukan bumiputera habis terjual.
Susulan itu, kumpulan pemaju hartanah tersebut menaikkan harga unit baki bukan bumiputera kepada sekitar RM850 per kaki persegi, berbanding hanya RM650 per kaki persegi ketika pelancaran awal.
"Kami mendapati strategi pelancaran secara berperingkat ini, memang berjaya mengekalkan nilai hartanah berkenaan dan meningkatkan lagi tahap keyakinan para pembeli serta pelabur," katanya.
Dari segi unjuran kewangan, RHB Research menaikkan anggaran pendapatan UOA Development bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 15%, 14% dan 13%, disokong prestasi kukuh sepanjang 9M25.
Perkembangan positif tersebut berdasarkan kepada jangkaan jualan secara mampan daripada projek Aethera, yang diramal berupaya dalam menjadi pemacu jualan utama kumpulan berkenaan pada FY26.
Firma itu turut meningkatkan unjuran dividen sesaham kepada 13 sen bagi FY25, mencerminkan hampir 100% kadar pembayaran, disokong kedudukan tunai bersih berjumlah RM1.7 bilion. - DagangNews.com








