KUALA LUMPUR 5 Feb — Projek Terminal Regasifikasi yang ketiga (RGT3) di Lumut, Perak diyakini bakal menjadi pemangkin utama kepada nilai PETRONAS Gas Berhad (PetGas), menurut RHB Research.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) sesaham dinaikkan kepada RM19.10 berbanding RM18.90, yang juga mencerminkan potensi kenaikan sekitar 3%.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia berkata syarikat gas tersebut berkemungkinan besar bakal membangunkan RGT3 sejajar dengan petunjuk oleh pemegang saham utamanya sendiri, PETRONAS.
"Berita perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) secara jangka panjang antara PETRONAS dan QatarEnergy baru-baru ini sudah memberi gambaran awal mengenai pembangunan projek itu," jelas RHB Research.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan penganugerahan projek RGT3 akan diumumkan oleh PetGas pada tahun ini juga bagi memenuhi sasaran pentauliahan operasinya pada 2029 hingga 2030.
Tambahnya, terminal baharu itu selepas RGT1 di Sungai Udang, Melaka dan RGT2 di Pengerang, Johor bertujuan menampung permintaan yang tinggi antara 6 hingga 7GW menjelang empat tahun lagi.
Berdasarkan andaian kapasiti 990 mmscfd dan perbelanjaan modal sekitar RM3.5 bilion, RHB Research menganggarkan projek baharu itu mampu menjana kadar pulangan dalaman (IRR) yang mencecah 12%.
"Ia sekali gus memberi kenaikan nilai sekitar 77 sen sesaham atau 4% kepada TP PetGas, dan kini dinilai secara adil, setelah mengambil kira kenaikan tarif purata kira-kira 5%," jelas firma berkenaan.
Peningkatan kadar tersebut katanya, ditetapkan oleh pihak kerajaan di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) bagi segmen regasifikasi dan pengangkutan gas, selain jangkaan kos gas yang lebih rendah.
RHB Research turut menyemak unjuran pendapatan sesaham (EPS) PetGas bagi FY25 hingga FY27 masing-masing kepada -3%, +5% dan +7%, dengan TP ditetapkan selari rekod purata syarikat selama 10 tahun.
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko penurunan kekal wujud termasuk kemungkinan pelaksanaan cukai karbon dan kenaikan kos gas yang lebih ketara menjejaskan prestasi PetGas. - DagangNews.com








