Reneuco lantik Mustakim Mat Nun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dalam penyusunan semula syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reneuco lantik Mustakim Mat Nun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dalam penyusunan semula syarikat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 JanReneuco Berhad melantik Datuk Mustakim Mat Nun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, dalam penyusunan semula daripada Pengerusi Eksekutif, berkuat kuasa 20 Januari 2026.


Menurut kumpulan itu, tokoh korporat berkenaan memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang perbankan pelaburan dan kewangan korporat, termasuk transaksi pembiayaan hutang dan ekuiti.


Selain itu, beliau yang berusia 52 tahun turut mempunyai pengetahuan luas dalam aspek penggabungan dan pengambilalihan organisasi, urus niaga pembiayaan projek serta penstrukturan semula korporat.


"Beliau ada kepakaran khusus dalam sektor tenaga dan utiliti, terutama tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti projek hidro, solar dan loji berasaskan terma," maklum Reneuco kepada Bursa Malaysia.


Di samping itu jelas kumpulan berkenaan, Mustakim sepanjang bertugas berpengalaman dalam pengurusan pelbagai projek infrastruktur, air dan air sisa di seluruh Malaysia serta pasaran luar negara.


Tambahnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari London South Bank University, Britain itu, turut menjadi anggota lembaga pengarah dalam beberapa syarikat swasta tempatan.


Antaranya kata Reneuco, termasuk sebagai pengarah OHP Capital Sdn Bhd dan anak syarikat milik penuhnya, Grand Deal Vision Sdn Bhd, Loyal Engineering Sdn Bhd serta Majestic Offshore Sdn Bhd.


"Beliau pernah berkhidmat di Elaf Bank BSC (C), Bahrain, selain PricewaterhouseCoopers, Malaysian International Merchant Bankers Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad," jelasnya.


Kumpulan tersebut berkata, Mustakim pada masa ini turut tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan atau konflik kepentingan dengan pengarah dan pemegang saham utama syarikat.


Bagaimanapun, beliau ada kepentingan langsung sebanyak 871,800 saham, serta ekuiti tidak langsung 190.52 juta saham, mewakili 16.68% daripada modal saham terbitan Reneuco. - DagangNews.com