KUALA LUMPUR 28 Mei - Datuk Seri Rafizi Ramli berkata beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun.
“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Kabinet kepada Perdana Menteri. Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa mulai 17 Jun ini.
“Mulai hari ini, saya akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
TERKINI: Nik Nazmi juga letak jawatan menteri Kabinet
Rafizi berkata beliau menyertai politik untuk memupuk budaya politik baharu berdasarkan akauntabiliti dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mendapat mandat daripada parti saya untuk menterjemah agenda rakyat, seperti yang dibayangkan oleh PKR, kepada program kerajaan.
“Seperti yang diamalkan di negara yang mengutamakan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti mesti memberi laluan kepada mereka yang menang untuk mengambil tempat dalam kerajaan,” tambahnya.
Rafizi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas sokongan mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya telah menyaksikan sendiri kecekapan dan keupayaan majoriti penjawat awam di sini, yang mampu merangka dasar diikuti dengan rangka kerja program yang berkesan.
“Saya yakin program menambah baik struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus berjaya dilaksanakan oleh penjawat awam.
“Tugas terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi telah selesai dengan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang telah dimuktamadkan dan sedang menunggu pembentangan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Pada 7 Mei lalu, Rafizi berkata beliau bersedia berundur daripada jawatan parti dan Kabinet sekiranya kehilangan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR.
Rafizi berkata beliau akan kembali menjadi pemimpin peringkat akar umbi dan berkempen secara intensif untuk parti.
Rafizi dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti. - DagangNews.com








