QL Resources melabur RM1.3 bilion bangunkan hab pembuatan makanan bersepadu di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

QL Resources melabur RM1.3 bilion bangunkan hab pembuatan makanan bersepadu di Perak

CHIA Song Kun (empat dari kiri) mengiringi Ahmad Zahid Hamidi (lima dari kiri) pada majlis pecah tanah QL Innofood Park di Hutan Melintang, Perak semalam. - Foto ihsan QL Resources Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 JanQL Resources Berhad membangunkan hab pembuatan makanan bersepadu dikenali QL Innofood Park menerusi pelaburan strategik berjumlah RM1.3 bilion di Hutan Melintang, Perak.


Pengeluar makanan berasaskan pertanian itu dalam kenyataan berkata, projek diterajui anak syarikat milik penuh, QL Foods Sdn Bhd, dengan tumpuan kepada produk berasaskan protein pelbagai sumber.


Jelas Pengerusi Eksekutifnya Dr Chia Song Kun, ia menandakan fasa baharu pengembangan perniagaan, termasuk produk soya, tepung, ayam dan lain-lain, selain portfolio sedia ada berasaskan surimi.


"Pelaburan berimpak tinggi itu sejajar peningkatan permintaan pasaran domestik dan global terhadap produk makanan bernilai tambah dengan pembangunan ini dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

 

 

 

 

 


Ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun yang merangkumi sejumlah 13 loji pengeluaran, serta pelbagai kemudahan sokongan seperti utiliti, logistik gudang dan fasiliti pekerja syarikat.


Terdahulu, Song Kun menyaksikan majlis pecah tanah QL Innofood Park dengan dirasmikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.


Bagi fasa awal jelasnya, QL Resources melabur RM300 juta bagi pembangunan infrastruktur sokongan, diikuti pelaburan sekitar RM100 juta setahun selama 10 tahun bagi pembinaan loji pengeluaran.


"Apabila siap, ia dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan QL Foods kepada 180,000 tan, berbanding kapasiti semasa 50,000 tan, iaitu peningkatan kira-kira 2.5 kali ganda," jelasnya.


Pembangunan QL Innofood Park itu tambah Song Kun, turut dilaksanakan dengan secara integrasi pelbagai inisiatif kelestarian teknologi hijau, termasuk pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).


Di samping itu, fasiliti moden tersebut turut melaksanakan proses penuaian air hujan, pusat pengasingan sisa pepejal, penggunaan operasi dandang biomas serta mesin yang lebih cekap tenaga.


Selain itu, hab berkenaan direka berasaskan kesediaan Revolusi Industri 4.0, dengan penggunaan sistem automasi, stor sejuk berpusat, gudang pintar dan pemantauan operasi berasaskan data.

 

 

 

 

 


"Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada limpahan pembangunan sosioekonomi negeri Perak, khususnya di daerah Bagan Datuk," jelas Song Kun.


Beliau turut yakin usaha kumpulan tersebut dapat menyokong agenda nasional dalam aspek perindustrian dan keselamatan makanan negara secara jangka panjang. - DagangNews.com