Pusat data dijangka mengalami kenaikan hingga 15% bil elektrik berikutan semakan tarif - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat data dijangka mengalami kenaikan hingga 15% bil elektrik berikutan semakan tarif - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Penganalisis meramalkan pusat data di Malaysia akan berdepan kenaikan bil elektrik sehingga 15 peratus susulan pelaksanaan struktur tarif baharu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

Kemudahan berintensiti tinggi penggunaan tenaga itu kini diletakkan di bawah kategori baharu 'voltan ultra-tinggi' dengan tarif purata sekitar 60 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh).

 

Ia dimaklumkan melalui satu taklimat pelabur yang diadakan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang dihadiri beberapa wakil firma penyelidikan.

 

Berdasarkan anggaran Public Investment Bank, bagi sebuah pusat data yang berskala 100 megawatt, semakan tarif tersebut boleh meningkatkan kos operasi tahunan sehingga RM63 juta.

 

Mulai 1 Julai, pelarasan tarif elektrik dibuat secara bulanan, menggantikan kaedah dua kali setahun sebelum ini.

 

Perubahan itu bertujuan menggalakkan penggunaan yang lebih cekap namun bagi pengguna kediaman biasa, mereka bakal menikmati sedikit penjimatan.

 

Struktur baharu itu juga memberi kesan kepada pengguna dengan faktor bebanan rendah iaitu mereka yang menggunakan lebih banyak tenaga pada waktu puncak dan tidak seimbang pada waktu lain.

 

Menurut MIDF Amanah Investment Bank pula, lebih dua pertiga pengguna komersial dan industri voltan sederhana dijangka menikmati pengurangan bil dan selebihnya mungkin terkesan kerana penggunaan sistem yang kurang cekap.

 

Secara amnya, faktor bebanan yang dianggap 'baik' berada dalam lingkungan 60% hingga 70%. 

 

Mereka yang berada di bawah paras ini mungkin berdepan kenaikan bil antara 5% hingga 6% setiap bulan.

 

Hong Leong Investment Bank pula berpandangan bahawa pengguna voltan tinggi dengan faktor bebanan rendah boleh terkesan dengan kadar tarif efektif antara 58 hingga 70 sen/kWh.

 

Situasi itu akan mendorong syarikat untuk mempertimbangkan alternatif tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung.- DagangNews.com