PUC lupus 100% ekuiti PUC Capital kepada CEO Alevate Capital, Tham Lih Chung, keluar beban hutang RM20 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PUC lupus 100% ekuiti PUC Capital kepada CEO Alevate Capital, Tham Lih Chung, keluar beban hutang RM20 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 JunPUC Berhad memeterai lembaran terma mengikat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Alevate Capital, Tham Lih Chung bagi melupuskan 100% ekuiti anak syarikatnya, PUC Capital Sdn Bhd.

 

Ia melibatkan penjualan sejumlah 20 juta saham biasa dengan harga tunai nominal RM1, namun nilai pertimbangan efektif adalah RM680,000 diselesaikan melalui pelepasan sebahagian hutang syarikat.


Langkah ini merupakan sebahagian daripada rasional usaha penyusunan semula kumpulan berkenaan untuk mengeluarkan mana-mana anak syarikat yang perniagaan dikendalikannya mengalami kerugian.


"PUC Capital mencatatkan liabiliti bersih sebanyak RM2.53 juta dengan jumlah hutang daripada pihak pembiaya pula mencecah RM20.77 juta setakat 31 Disember 2025," maklum PUC kepada Bursa Malaysia.


Melalui pelupusan itu, kumpulan tersebut bakal dilepaskan sepenuhnya daripada komitmen jaminan korporat berjumlah sehingga RM50 juta yang diberikan kepada pembiaya PUC Capital sebelum ini.


Lih Chung, juga merupakan pihak pengendali Alevate Capital Sdn Bhd, iaitu penghutang tunggal terbesar PUC Capital dengan baki tunggakan RM7.22 juta, mewakili 54% daripada jumlah hutang.


Beliau merupakan usahawan bersiri yang menubuhkan beberapa syarikat, antaranya Eatcosys dan Incite Innovations, serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).


Pada masa ini, beliau yang juga ahli CFA Institute berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Fidelity Funding Sdn Bhd, syarikat modal teroka berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).


Sejak 2012, beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, serta pernah mengasaskan firma dikenali sebagai Rhombus Connexion.


Selain itu Lih Chung berjaya menjual AUM Hospitality kepada sebuah syarikat tersenarai di bursa, serta memiliki kepakaran dalam merancang dan melaksanakan strategi penjualan syarikat.


Sebelum bergiat aktif sebagai usahawan, beliau berkhidmat di beberapa organisasi terkemuka seperti KPMG, RHB Investment Bank dan MMC Corporation, memberinya pengalaman luas dalam bidang korporat.


Sehubungan rancangan pelupusan ini, baki hutang antara syarikat berjumlah RM4.433 juta akan dinovasikan kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PUC, Cheong Chia Chou.


PUC dijangka mencatatkan anggaran keuntungan daripada penyahpenyatuan sebanyak RM680,000, dan turut menegaskan pelupusan ini tidak menyebabkannya tergolong dalam status Nota Amalan 3 (GN3).


"Pelupusan yang melibatkan entiti pemberi pinjaman wang berlesen ini dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa," katanya. - DagangNews.com