PublicInvest semak turun unjuran pendapatan QES Group sebanyak 12% akibat penghantaran peralatan perlahan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran pendapatan QES Group sebanyak 12% akibat penghantaran peralatan perlahan 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menyemak turun unjuran pendapatan QES Group Bhd antara 10% dan 12% bagi bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sehingga FY26. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan unjuran tersebut mencerminkan penghantaran peralatan yang lebih perlahan yang dijangkakan. 

 

QES mencatat hasil sebanyak RM14 juta sepanjang sembilan bulan 2024 yang mewakili 63% daripada anggaran tahunan PublicInvest. 

 

Hasilnya diheret akibat kerugian dalam segmen pembuatan serta penghantaran sistem pemeriksaan dan sistem metrologi yang lebih rendah  walaupun terdapat peningkatan dalam sistem pengendalian automatik.

 

Sehingga akhir bulan lepas, kumpulan itu memiliki buku pesanan sebanyak RM108 juta berbanding RM103 juta pada Ogos 2024.

 

Daripada RM108 juta, segmen pengedaran dan pembuatan masing-masing menyumbang 82% dan 18%.

 

"Saiz buku pesanan yang lebih kukuh menunjukkan keupayaannya dalam mendapatkan lebih banyak kontrak, " katanya dalam satu nota.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'Outperform' ke atas saham QES dengan harga sasaran (TP) 76 sen. - DagangNews.com