Public Gold jadi syarikat Malaysia pertama sertai bursa jongkong emas India, IIBX | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Public Gold jadi syarikat Malaysia pertama sertai bursa jongkong emas India, IIBX

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 April – Public Gold Marketing Sdn Bhd (PGM) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi syarikat Malaysia pertama yang diterima sebagai ahli di India International Bullion Exchange (IIBX) yang memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu dalam pasaran emas global.

 

Ia adalah satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan antarabangsa Public Gold yang kini semakin agresif meneroka pasaran utama dunia.

 

Keahlian di IIBX juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri perdagangan jongkong emas.

 

Sebelum ini, Public Gold telah pun menjadi ahli Shanghai Gold Exchange (SGE) di China, yang merupakan antara platform perdagangan emas paling berpengaruh di dunia.

 

Dengan kehadiran di kedua-dua platform tersebut, Public Gold kini mempunyai akses terus kepada dua pasaran emas fizikal terbesar di Asia, iaitu China dan India.

 

India International Bullion Exchange yang berpusat di GIFT International Financial Services Centre berfungsi sebagai platform kawal selia bagi import dan perdagangan emas ke India.

 

India merupakan antara pengguna emas terbesar dunia dengan permintaan tahunan dianggarkan sekitar 750 hingga 800 tan, disokong oleh faktor pelaburan, budaya serta permintaan perkahwinan.

 

Menurut Public Gold, akses kepada IIBX membolehkan syarikat berurusan secara langsung dengan pedagang emas, penjual jongkong serta institusi kewangan di platform yang lebih telus dan berstruktur.

 

t

 

Selain itu, ia turut meningkatkan kecekapan penetapan harga, rantaian bekalan serta penyelesaian transaksi dalam perdagangan emas antarabangsa.

 

Public Gold berkata kehadiran dalam pasaran China dan India meletakkan syarikat itu dalam kedudukan strategik di tengah-tengah koridor permintaan emas fizikal terbesar dunia.

 

Syarikat itu juga melihat peralihan perdagangan emas global yang semakin bergerak ke arah Asia sebagai peluang untuk memainkan peranan lebih besar dalam penentuan harga emas.

 

Selain itu, Public Gold turut memperkukuh rangkaian kecairan emas di beberapa pusat kewangan utama termasuk Singapura dan Dubai.

 

Perkembangan ini sejajar dengan trend global yang menyaksikan peningkatan minat terhadap aset alternatif termasuk emas sebagai lindung nilai terhadap ketidaktentuan ekonomi.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Seri Louis Ng berkata keahlian di IIBX merupakan langkah transformasi penting selepas penyertaan di SGE.

 

Menurut beliau, ia mengukuhkan kedudukan Public Gold sebagai pemain bullion yang mempunyai rangkaian global yang semakin meluas.

 

Public Gold turut menyasarkan pengembangan ke beberapa pusat kewangan utama lain seperti Hong Kong, United Kingdom dan Switzerland dalam fasa seterusnya, sebagai sebahagian daripada strategi untuk menjadi pemain utama emas di peringkat antarabangsa.- DagangNews.com