Public Gold ATM jalin kerjasama strategik MAH Gold dan ComTech Gold perluas Gold ATM fintech pertama dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Public Gold ATM jalin kerjasama strategik MAH Gold dan ComTech Gold perluas Gold ATM fintech pertama dunia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Feb – Peneraju mesin juruwang automatik (ATM) pengeluaran emas berasaskan teknologi kewangan (fintech), Public Gold ATM menjalin kerjasama strategik dengan dua organisasi.


Kumpulan tersebut berkata, ia melibatkan MAH Gold & Jewellery LLC dan ComTech Gold dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memperluaskan penyebaran Gold ATM secara pintar di peringkat global.


Majlis pemeteraian di Menara Public Gold, Kuala Lumpur itu membabitkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, serta Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng.
 

Public Gold


"Gold ATM beroperasi 24 jam setiap hari, menggabungkan emas fizikal, kewangan digital, dan teknologi canggih, membolehkan pengguna membeli emas dengan e-wallet atau kad kredit," kata syarikat itu.


Pelanggan jelas Public Gold, turut boleh menebus emas digital, menukar mata wang kripto kepada emas, dan membuat pengeluaran dari 'vault' atau bekas yang disediakan khas dengan amat selamat.


Sejak ditubuhkan pada 2023, Public Gold ATM memasang 155 unit Gold ATM di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian Dubai, sekali gus diiktiraf Guinness World Records untuk operator mesin emas terbanyak.

Public Gold


Pengiktirafan berkenaan disampaikan pada Persidangan Emas Malaysia 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.


"Kerjasama MAH Gold akan memperkukuh pengembangan Public Gold ATM di rantau Timur Tengah, dan Eropah, manakala dengan ComTech Gold pula memperkenalkan integrasi emas digital pertama," katanya.


Tambahnya, usaha tersebut akan dilaksanakan menerusi Public Gold ATM sendiri, sekali gus membolehkan para pelanggan menebus emas digital mereka kepada emas secara fizikal terus melalui ATM.
 

Public Gold


Ng berkata, kerjasama strategik ini menandakan mercu tanda penting Public Gold ATM dan industri emas global, memperkukuh akses pelaburan emas yang selamat, mudah dan berinovasi di seluruh dunia.


Pelaksanaan Gold ATM dijangka bermula tahun ini, dengan lima unit, dan rancangan pengembangan kepada 50 unit pada 2027, mengukuhkan lagi akses dan peluang pelaburan emas di rantau ini. - DagangNews.com