KUALA LUMPUR 23 Okt – PSP Energy Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO itu yang akan dilancarkan pada bulan Disember ini menawarkan 27% daripada modal saham diperbesarkan PSP Energy.
Pengarah Urusan Kumpulan PSP Energy, Ong Chee Seng berkata, IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 213.8 juta saham baharu, mewakili 20% daripada modal saham diperbesarkan.
Selain itu, pemegang saham sedia ada akan menawarkan 74.82 juta saham sedia ada untuk dijual, bersamaan 7% daripada modal saham diperbesarkan.
PSP Energy, pengedar bahan bakar dan pelincir menawarkan pelbagai produk termasuk diesel, minyak pelincir, petrol dan gris.
“Hasil daripada IPO akan digunakan untuk memperoleh kapal bunker baharu bagi menambah armada sedia ada tiga kapal syarikat dan memperluaskan perniagaan bunkering serta hab perkhidmatan di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka, pada separuh pertama 2026.
“Sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi produk lapangan dan lori tangki baharu.
“Pelaburan ini akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengedar dipercayai serta menyokong pertumbuhan jangka panjang kami dalam sektor hiliran minyak dan gas di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah terbitan awam, 53.44 juta saham baharu akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia manakala 48.1 juta saham baharu diperuntukkan untuk pemohon layak melalui Borang Merah Jambu.
Selain itu, 58.8 juta saham baharu akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera dan 53.4 juta saham kepada pelabur terpilih.
Selepas penyenaraian, pegangan Ong melalui entiti pelaburan peribadinya, CS Hutchison Holdings Sdn Bhd, akan berkurang kepada 51% daripada 63.7%, manakala pegangan langsungnya dalam PSP Energy akan berkurangan kepada 5% daripada 6.3%.
Mercury Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com








